Patah hati berkali-kali selepas tengok Haq - Utusan Malaysia

Patah hati berkali-kali selepas tengok Haq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“AKU hanya menyalakan percik api, tapi engkau yang membakar seluruh dunia kita berdua.”

Sukar untuk tidak berasa hancur sepanjang 2 jam 16 minit tayangan filem arahan Suparn Verma, Haq yang kini menjadi perhatian di media sosial. Seperti judulnya, Haq bermaksud hak, menceritakan semula sebuah kisah benar yang pernah dilalui seorang wanita bernama Shah Bano yang berjuang menuntut nafkah daripada suaminya, Mohamed Ahmed Khan seorang kaya, berpangkat dan berpengaruh demi membesarkan lima anaknya.

Bagaimanapun, Haq hanya mengambil jantung cerita namun memberikan pengolahan semula terhadap plot, drama sehinggalah keputusan mengubah nama watak. Haq menggugurkan tanggungjawab sebuah naskhah biopik, sebaliknya menjadikannya sebuah filem drama yang begitu dalam menikam, menghancurkan hati seorang wanita dalam dan perlahan.

Kita semua tahu, setiap perkara di dunia mempunyai tarikh luput. Begitu juga dalam cinta. Haq menawarkan kita sebuah kisah cinta agung di awal cerita, Shazia Bano seperti puteri, diberikan rumah agam dan pembantu. Shazia menanam mawar di taman, menjaga sehingga bunga itu tumbuh mekar memenuhi tiap laman rumah.

Shazia melalui patah hati pertama melihat kedinginan suaminya. Sudah tentu dia terkejut dan keliru. Sesekali dia berjuang, menggoda memakai baju cantik, manja dan merajuk. Tapi kita tahu, wanita ada intuisi istimewa, kita mudah membaca ada nyala yang padam dari hati seorang lelaki. Kita mencari versi dirinya yang kita kenal dan sayang, namun sudah hilang. Walaupun dia berdiri di depan mata.

Seiring filem berjalan, patah hati Shazia lebih banyak, bersepai dan lunyai. Suaminya kahwin lain, bapanya meninggal dunia, dihina masyarakat dan sebagainya. Namun, seiring derita itu jugalah kita kemudian melihat Shazia matang didewasakan luka-luka.

Awalnya, Shazia hanya mengenal kecewa dan pengkhianatan. Bagaimanapun, dia kemudian tersedar ada manipulasi dan kelompongan dalam sistem yang lebih memihak kepada lelaki. Apa lagi untuk lelaki seperti suaminya yang memang lahir daripada kumpulan elitis.

Dengan hanya hadir menuntut haknya menerusi Seksyen 125 Kanun Tatacara Jenayah (CrPC) 1973 dibicarakan dalam sidang, Shazia kemudian menuntut hak lebih besar selain daripada dirinya. Dia meminta hak wanita di India diberikan perlindungan sewajarnya walaupun perjuangan itu liku, duri, pahit dan hampir membuatnya terbunuh.

Bagaimanapun, sepanjang filem ini kita dapat melihat bagaimana suaminya dan juga peguam terkenal, Abbas Khan seperti drakula menyedut semua darah dan semangat seorang perempuan yang pernah dicinta demi sengaja memanjangkan sengketa. Shazia meninggalkan ayat manipulasi Abbas dengan tenang, berbicara tentang kemaafan sambil memberikannya makanan di suatu malam.

Tidak tahu apakah itu ego, atau memang Abbas berhati syaitan sahaja membiarkan Shazia dan tiga anaknya hidup dalam neraka. Namun begitu, setiap kali Abbas menyelipkan bunga mawar di pakaiannya ketika persidangan, kita tahu, walau Abbas tidak mengakuinya, Shazia telah pun menang dengan semangatnya. Abbas tahu, apa yang dikatakan dan dihujahkan peguam mewakili Shazia adalah benar. Sebuah konflik dalaman besar bergolak dalam dirinya.

Oleh itu, ketika kemenangan tidak berpihak kepadanya, Abbas menanggalkan bunga mawar kesukaan Shazia dari kot mahalnya meletakkannya di atas para. Dia akhirnya mengakui kebesaran hati dan kehebatan bekas isteri.

Selepas filem tamat, saya berdepan kenyataan yang lebih sadis. Selepas menyemak fakta, saya sangat kecewa mengetahui Shah Bano, individu sebenar yang melalui semua ini harus menamatkan perjuangannya di tengah jalan kerana tidak tahan ditekan masyarakat. Shah tidak hanya ada tiga anak seperti ditunjukkan Shazia, tetapi lima anak.

Juga Shah sudah berumur 60 tahun semasa memperjuangkan itu semua. Betapa kuatnya semangat pada usia itu untuk turun naik mahkamah, menahan diri menjadi bahan ejekan satu negara dan menghadapi tekanan agama ketika itu.

Shah sudah meninggal dunia ketika filem ini tayang. Tapi saya berfikir, ini adalah sebuah filem wajib yang perlu ditonton oleh semua. Kerana pengalaman sebagai wartawan yang melaporkan cerai dari bilik mahkamah merasakan tidak mudah untuk seorang perempuan bergaduh menuntut hak, juga tidak wajar untuk mana-mana lelaki sengaja memperkuda kebenaran melafaz talak demi melambatkan proses di mahkamah.

Juga kepada para wanita dan penegak hukum di luar sana yang sedang berjuang mendapatkan kebenaran, semoga anda semua mendapatkan kembali segala sinar di wajah yang dipadamkan oleh lelaki yang pernah kita percaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN