Milik Bossned? Belum lagi - Nadia Brian - Utusan Malaysia

Milik Bossned? Belum lagi – Nadia Brian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada sesuatu yang berbeza pada Nadia Brian kebelakangan ini. Bukan pada cara dia berpakaian, bukan juga pada gaya solekan atau lakonannya, tetapi pada getar tenang yang seakan memancar dari dalam dirinya.
Senyumannya tidak lagi tergesa-gesa, tutur katanya semakin perlahan dan langkahnya semakin berhati-hati , seolah-olah dia kini menjadi seorang wanita yang akhirnya menemui titik damai dalam perjalanan hidup yang panjang dan penuh liku.

Dan akhirnya, Nadia sendiri mengesahkan apa yang selama ini hanya berlegar sebagai bisikan di kalangan peminat.

Ya, ternyata benar, hatinya kini sudah dimiliki, bukan dalam erti sensasi, tetapi dalam erti kematangan.

Mungkin ramai sudah sedia maklum, Nadia sedang menjalin hubungan istimewa dengan Bossned, bekas suami kepada pelakon popular Nora Danish.

Namun seperti keseluruhan perjalanan hidup Nadia, pengakuan itu tidak disampaikan dalam nada riuh, tidak juga dibalut drama murahan.

Sebaliknya, ia hadir sebagai luahan seorang wanita yang sudah lama belajar membezakan antara cinta yang mengujakan dan cinta yang menenangkan.

“Saya tak kejar status. Saya tak kejar sensasi. Saya kejar ketenangan. Itu sahaja sebenarnya yang saya cari sekarang,” katanya perlahan.

Pengakuan itu seolah-olah menjadi noktah kepada pelbagai spekulasi yang tercetus sejak beberapa bulan lalu apabila peminat mula perasan perubahan aura Nadia.

Dialebih matang, lebih tersusun, lebih bahagia dalam diam.

Menurut Nadia, hubungan mereka tidak bermula dengan percikan cinta yang membuak-buak, sebaliknya terbina perlahan-lahan daripada persahabatan.

“Terus-terang, kami sebenarnya kenal lama di Instagram sahaja. Mula-mula memang kawan. Borak biasa, bertanya khabar. Saya pun memang jenis workaholic, fokus kerja.

“Tak ada niat langsung nak bercinta. Tapi lama-kelamaan, tanpa dirancang, kami jadi rapat secara semula jadi.

“Kami keluar makan pun sebagai kawan. Bukan ‘dating’. Duduk berbual, ketawa, kongsi cerita. Dari situ saya rasa sesuatu yang saya jarang rasa, perasaan tenang.

“Saya akui, sudah lalui banyak fasa dalam hidup. Jadi sekarang saya tak cari yang dramatik. Saya cari orang yang buat saya rasa selamat, bukan rasa tertekan. Dengan dia, saya rasa tenang. Saya boleh jadi diri sendiri tanpa rasa takut,”ujarnya.

Ditanya mengenai masa depan, Nadia menjawab dengan penuh berhati-hati.

“Saya memang tak suka guna perkataan ‘milik’. Itu terlalu berat. Belum lagi, selagi belum berkahwin, belum boleh cakap begitu.

“Sebab bagi saya, soal jodoh ini rahsia Allah. Kalau kita terlalu bercakap, terlalu menghebah, kita seolah-olah mendahului takdir. Saya lebih selesa serahkan semuanya kepada Allah. Tambahan pula, untuk seorang wanita bercakap soal nikah kahwin ini terlalu awal pun tidak manis juga, betul tak?”ujarnya.

Sisi peribadi kekasih hati

Apa yang membuatkan Nadia terbuka menerima Bossned? Itu juga menjadi pertanyaan Pancaindera buat pelakon jelita ini.

Lalu, dengan bersahaja, Nadia memberi respons tersendiri. Jawapannya terletak pada sisi peribadi lelaki itu yang jarang diketengahkan kepada umum.

“Sebenarnya, sejak mengenali Bossned, saya dapat lihat bahawa dia seorang yang boleh dikategorikan sebagai ‘family man’.

“Dia sangat penyayang. Sangat menjaga anak-anak dan keluarganya. Dia jenis suka memberi sampai kadang-kadang dia lupa diri sendiri. Itu yang buat saya rasa ini lelaki yang jiwanya besar.

“Dia seorang yang merendah diri, bijak. Tapi tak pernah menunjuk apa yang dia ada. Saya suka orang yang jujur, yang tenang, yang tahu nilai kasih sayang. Mungkin ciri yang dimilikinya itulah yang membuatkan saya jatuh hati dengannya,”katanya.

Dalam masa sama, Nadia menegaskan hubungannya dengan Nora Danish juga berada dalam keadaan baik meskipun ramai tahu, lelaki yang bersamanya kini pernah menjadi sebahagian hidup pelakon berketurunan Arab-Myanmar itu.

“Saya sangat menghormati Nora. Dia seorang ibu yang sangat baik. Anak-anak mereka dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

“Saya tengok sendiri cara mereka dijaga. Kami semua positif. Tak ada rasa negatif, tak ada rasa tak selesa. Kami mendoakan yang terbaik untuk satu sama lain.

“Yang penting, tiada istilah rampas sesiapa. Sebab saya mengenali Bossned pun selepas dia dan Nora berpisah. Semua juga tahu bahawa mereka berdua sudah lama ‘move on’. Begitupun, saya sangat hormati cara mereka berdua menjaga dan memberi perhatian kepada anak-anak mereka,”katanya.

Tidak terburu-buru

Selepas lima tahun hidup solo, Nadia mengakui tempoh itu merupakan madrasah kehidupan yang sangat berharga.

“Lima tahun itu buat saya kenal diri sendiri. Saya belajar jangan terburu-buru. Baik dalam kerjaya, dalam cinta, dalam hidup. ‘Slow and steady’. Bagi saya, kita boleh ada impian, ada matlamat, tapi jangan sampai kita sakiti orang lain atau diri sendiri.”

Pada masa yang sama, kata Nadia, keluarga pula menjadi tiang seri kepada setiap langkahnya.

“Mak dan keluarga nombor satu. Kalau mak rasa tenang, saya pun rasa tenang. Apa yang kita buat dengan restu keluarga, Allah mudahkan.

“Saya juga percaya bahawa fasa baharu saya ini dengan Bossned juga merupakan doa daripada mak dan keluarga yang mahu lihat saya punya kebahagiaan sendiri.Tetapi, kalau orang kata saya nak cepat-cepat kahwin, perkara itu saya sangkal.

“Saya tak kejar status nak jadi isteri orang secara terburu-buru. Lagipun saya dengan Bossned masih dalam fasa saling mengenali.Kalau Allah izinkan, biarlah semuanya datang dengan cara yang betul, diredai keluarga dan diberkati. Itu sudah lebih daripada cukup untuk saya,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangan tahun baharu, Nadia akui telah menyusun langkah besar untuk 2026.

Dia merancang kembali aktif dalam dunia teater, selain menaruh harapan besar agar dirinya diberi peluang membawakan watak-watak lebih mencabar termasuk genre biopik wanita yang mengangkat kisah tokoh inspirasi.

Di sisi lain, perniagaan di bawah jenama Her Nation juga katanya bakal berkembang dengan pelancaran rangkaian minyak wangi dan produk baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN