Penyanyi ikonik Indonesia yang juga vokalis kumpulan Fourtwnty, Ari Lesmana, bakal menggegarkan Sabah menerusi konsert solo istimewa bertajuk ‘Mangu Di Bawah Bayu’, yang dijadualkan berlangsung pada 6 Februari 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.
Dianjurkan oleh Sembang Kari Entertainment, konsert ini menjanjikan pengalaman muzik yang sarat dengan emosi, estetika dan keintiman, selari dengan konsep ‘Mangu’ yang membawa maksud keadaan termenung, tenang dan terpesona dalam keindahan perasaan.
Selain persembahan vokal Ari yang terkenal dengan sentuhan emosi mendalam, konsert ini turut dimeriahkan dengan kolaborasi istimewa bersama DJ Firza dan Millvrd, sekali gus memberikan dimensi muzik yang lebih segar dan dinamik kepada penonton di Sabah.
Menurut Pengarah Urusan Sembang Kari Entertainment, Fakhrul Khalid, penganjuran konsert ini merupakan langkah penting dalam usaha membawa pengalaman muzik berkualiti tinggi ke negeri Sabah.
“Kami sangat teruja untuk membawakan Ari Lesmana ke Kota Kinabalu. Aura dan identiti muzik yang dibawakan oleh Ari mempunyai pengikut yang sangat kuat di sini. Melalui ‘Mangu Di Bawah Bayu’, kami ingin mencipta satu ruang di mana peminat dapat ‘healing’ sambil menikmati produksi bertaraf antarabangsa di SICC,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa konsert ini bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebuah pengalaman emosi yang menghubungkan artis dan penonton secara lebih dekat.
Sementara itu, Ari Lesmana sendiri meluahkan keterujaannya untuk kembali menyapa peminat di Borneo.
“Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk menyapa teman-teman di Borneo secara lebih dekat. Sabah mempunyai energi dan keindahan alam yang luar biasa, sangat selari dengan jiwa ‘Mangu’ yang ingin saya sampaikan. Datanglah, kita akan berdialog melalui lagu, melepas rindu dan merayakan rasa bersama-sama di bawah bayu nanti,” katanya.
Tiket konsert ‘Mangu Di Bawah Bayu’ telah mula dijual sejak 22 Disember 2025 dengan dua kategori utama, iaitu VIP berharga RM377 yang merangkumi sesi Meet & Greet, laluan pantas, beg tote, lanyard, kad ID serta barangan rasmi, dan Festival Standing berharga RM177.
Kemudahan pembayaran ansuran turut disediakan menerusi SPayLater, PayLater by Grab dan Atome. Tiket boleh didapati secara dalam talian melalui laman web www.myticketempire.com.










