PETALING JAYA: Masih berduka atas pemergian insan tercinta, pelakon Puteri Aishah menitipkan ucapan penghargaan buat arwah ibunya, Norita Sulaiman yang telah dijemput Ilahi, pada Ahad lalu.
Menerusi sebuah hantaran di Instagram, Puteri Aishah turut berkongsi beberapa foto momen indah bersama ibunda tercinta sepanjang hayatnya masih ada.
“Selamat jalan mama kesayanganku. Terima kasih atas segala pengorbanan yang tak terhingga. Mama ibu yang terbaik di seluruh dunia.
“Cinta saya pada mama melebihi segala yang saya cinta di dunia ini and saya tahu mama sayangkan saya sampai ke bulan dan kembali,” katanya.
Reda dengan ketentuan takdir, pelakon drama Rahimah Tanpa Rahim itu mendedahkan pemergian ibunya berpunca daripada penyakit kanser yang dihidapnya sejak 10 tahun lalu.
Pun begitu, Puteri Aishah tidak memaklumkan secara terperinci mengenai jenis kanser yang dihidap ibunya.
“Mama sudah lawan kanser hampir 10 tahun. Terima kasih dah berjuang habis-habisan untuk bersama dengan kami di dunia ni selama mungkin dan sekarang mama berehat okay?
“Saya akan abadikan kenangan kita bersama, selamanya. Mama selamanya di hati angah. Tiada sesiapa boleh gantikan mama.
“Dan saya harap, mama selalu datang dalam mimpi saya dan peluk saya. Saya sayang mama,” jelasnya.
Pada Selasa lalu, Puteri Aishah memaklumkan ibunya, Norita Sulaiman telah meninggal dunia, pada 25 Januari lalu.










