PETALING JAYA: Bagai berada di titik paling rendah, pelakon, Puteri Balqis mengakui dirinya berasa gagal untuk memenuhi harapan dan membahagiakan insan tercinta iaitu ibunya.
Balqis bagaimanapun enggan berputus asa bahkan, nekad mahu terus mencuba untuk menjadi versi yang lebih baik sementara masa masih ada.
“Mak, kakak gagal. Tapi macam mak cakap… esok kan masih ada. Kita cuba lagi,” tulisnya di Instagram Story.
Dalam hantaran tersebut, pelakon itu turut berkongsi semula paparan video penghargaan berserta nukilan puisi yang dibuat khas untuk ibunya.
Menerusi hantaran lain, Puteri Balqis turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada individu yang tidak putus-putus memberi sokongan dan kekuatan buatnya sejak kebelakangan ini.
Selain keluarga dan kenalan rapat, pelakon drama Keluarga Itu itu turut menzahirkan penghargaan yang sama buat rakan selebriti seperti Datin Seri Umie Aida, Erma Fatima, Izara Aishah, Amelia Henderson dan Amir Ahnaf yang sentiasa menjadi tulang belakangnya.
Terdahulu, nama Puteri Balqis mencuri perhatian ramai selepas memuat naik hantaran di media sosial secara terbuka mencabar rakan selebriti, Mia Sara Nasuha untuk tampil bersemuka.
Aktres itu menyelar tindakan Mia yang didakwa cuba meraih simpati dengan mengalirkan air mata ketika ditemu bual pengamal media menerusi satu sesi temu ramah.
Malah, Puteri Balqis turut mendakwa pihak pengurusan dan rakan artis terbabit pernah menghina serta cuba memerangkap ibunya menerusi tawaran pekerjaan palsu.
Menerusi hantaran yang sama, pelakon itu juga mendakwa Mia Sara terlibat dengan aktiviti tidak bermoral seperti kerap ke kelab malam, minum alkohol dan mengambil bahan terlarang.
Bagaimanapun, Mia Sara sehingga kini memilih untuk mengunci mulut dan berdiam diri dari memberi sebarang kenyataan berhubung isu yang semakin hangat menjadi sorotan di media sosial, baru-baru ini.










