Loud Blast Fest satukan ikon dan bakat rock tempatan - Utusan Malaysia

Loud Blast Fest satukan ikon dan bakat rock tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peminat muzik rock tempatan bakal disajikan dengan sebuah festival berskala besar dengan kemasukan percuma kepada semua pengunjung apabila ‘Loud Blast Fest’ diumumkan bakal berlangsung pada 24 Januari 2026 di Tapak Karnival Star Avenue Lifestyle Mall.

Dianjurkan oleh Rockstage Entertainment, festival ini bertujuan menghidupkan semula budaya muzik rock tempatan secara inklusif, sekali gus memberi peluang kepada peminat daripada pelbagai lapisan usia menikmati persembahan secara langsung tanpa halangan harga tiket.

Menurut Pengarah Rockstage Entertainment, Talib Othman, penganjuran secara percuma ini adalah usaha memastikan muzik rock kekal dekat dengan masyarakat.

“Kami mahu muzik rock dinikmati semua lapisan masyarakat. Loud Blast Fest diharap dapat menyatukan peminat lama dan generasi baharu dalam suasana terbuka dan mesra komuniti,” katanya.

Festival ini menampilkan barisan artis rock berpengaruh termasuk Dinamik dan Ukays, selain Rusty Rabak, Selipar Jepun, UR’S, F.O.R, Silverchain dan Startegy, merangkumi pelbagai era serta aliran muzik rock tempatan.

Loud Blast Fest akan bermula seawal tengah hari dengan segmen ‘Battle of the Bands’, yang berperanan sebagai platform pencarian dan pendedahan bakat baharu dalam arena rock tempatan. Segmen ini disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang terhadap kesinambungan muzik rock negara.

Persembahan artis utama dijangka mengambil alih pentas dari petang hingga malam, menawarkan pengalaman muzik penuh tenaga dan elemen nostalgia kepada penonton.

Dengan sokongan Star Avenue Lifestyle Mall selaku lokasi penganjuran, festival ini dijangka menarik kehadiran ramai peminat rock serta pengunjung umum, sekali gus berpotensi untuk berkembang sebagai acara tahunan pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN