KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sekali lagi menangguhkan prosiding pengesahan lafaz taklik membabitkan pasangan selebriti, Linda Hashim dan Beego pada 9 Februari depan.
Penangguhan itu dibuat selepas Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 46, memohon untuk membela diri.
Peguam yang mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, pihaknya telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang prosiding berlangsung, namun mendakwa respon daripada pihak responden tidak memuaskan.
“Sebagai peguam, saya melihat pihak kami sudah berada di landasan yang betul dan mematuhi semua prosedur ditetapkan.
“Serahan saman dan penyata tuntutan telah dibuat lebih awal, namun kami menerima respon negatif daripada responden.
“Kami terpaksa menyerahkan dokumen hari ini, namun peguam yang mewakili beliau masih belum berwakalah, menyebabkan responden tidak diwakili ketika prosiding berlangsung.
“Selepas itu, kami dimaklumkan beliau ingin melantik peguam yang sama dan hakim membenarkan satu tarikh baharu iaitu 9 Februari depan bagi tujuan pembelaan,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Linda mengakui sedikit kecewa apabila mahkamah memberi ruang kepada suaminya untuk membuat pembelaan, namun percaya ada hikmah di sebalik penangguhan tersebut.
Bagaimanapun, aktres itu mendakwa tindakan berkenaan dilihat seolah-olah melengahkan proses penyelesaian kes.
“Saya bukan kecewa kerana tidak diceraikan, tetapi kecewa sebab dia sengaja melambatkan proses. Saya tahu dia sengaja.
“Katanya masih sayang, tetapi sebagai isteri, saya tahu kasih sayang daripada keluarga dan kawan-kawan lebih tulus dan ikhlas berbanding apa yang dia tunjukkan.
“Ini bukan soal sayang, tetapi apa yang tersirat dalam hatinya membuatkan dia mahu melambatkan proses ini. Saya isteri, saya tahu,” luahnya.
Untuk rekod, rumah tangga Linda dan Beego menjadi perhatian ramai sejak Januari tahun lalu apabila Linda memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan itu pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun rujuk semula pada 9 April 2023 serta bersetuju membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan tiga anak mereka.
Linda kemudian mendakwa mereka bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, sebelum kembali bersama tidak lama selepas itu.
Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6 tahun.










