KUALA LUMPUR: Pemilihan pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura sebagai wajah kolaborasi eksklusif Koleksi Raya Jakel 2026 dilakukan atas pertimbangan profesional dan bukan bertujuan mencetuskan sebarang kontroversi.
Itu penegasan yang dinyatakan oleh Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pemasaran dan Promosi Jakel Trading Sdn Bhd, Muzaffar Jakel ketika ditanya berhubung perkara itu baru-baru ini.
Menurutnya, keputusan itu tidak ada kaitan dengan dakwaan melagakan mana-mana pihak susulan spekulasi yang timbul kebelakangan ini.
Muzaffar atau mesra disapa MJ berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan artis yang mempunyai rekod peribadi baik serta tidak terpalit dengan sebarang isu dalam setiap kerjasama yang dijalankan.
“Sebenarnya kami melamar semua artis yang kami rasakan mempunyai rekod peribadi yang bersih dan profesional.
“Tiada langsung niat untuk melagakan mana-mana pihak. Segala perancangan ini dibuat semata-mata untuk kempen Jakel,” katanya.
Jelasnya, pemilihan Fazura bukanlah sebagai duta jenama, sebaliknya membabitkan kontrak kolaborasi eksklusif bagi Koleksi Raya 2026.
“Pihak kami menyediakan reka bentuk asas, namun idea keseluruhan koleksi datang daripada Fazura sendiri. Kami juga tiada sebarang niat memilih beliau untuk mencetuskan isu,” katanya.
Dalam pada itu, Muzaffar memaklumkan perbincangan mengenai kolaborasi berkenaan telah berlangsung sejak tujuh hingga lapan bulan lalu dan bukan dibuat secara tergesa-gesa.
“Ada duta sebelum ini yang menyambung kerjasama dan ada juga yang tidak. Ini bukan soal balas dendam atau niat lain,” ujarnya.
Mengulas isu membabitkan pelakon Fattah Amin yang sebelum ini merupakan duta Jakel dan kini dikaitkan dengan jenama lain, Muzaffar menegaskan perkara tersebut adalah rezeki masing-masing dan tidak wajar dipolemikkan.
“Itu sudah menjadi rezeki dia. Saya tidak boleh mengikat sesiapa. Terpulang kepada individu berkenaan. Dalam industri ini, selebriti akan sentiasa datang dan pergi,” katanya.
Tambahnya, bagi tahun ini, Jakel turut memilih lebih ramai selebriti termasuk memperkenalkan koleksi bersama duta daripada generasi Z.
Terdahulu, Fazura diumumkan sebagai wajah kolaborasi eksklusif Koleksi Raya 2026 oleh jenama tekstil dan fesyen terkemuka tanah air itu.
Bagaimanapun, pengumuman tersebut mengundang dakwaan segelintir pihak yang mendakwa Jakel mengambil kesempatan memandangkan pada tahun lalu jenama berkenaan memilih bekas suami aktres tersebut, Fattah Amin sebagai duta.










