Kita semua nampak baik kerana Allah tutup aib kita - Erysha Emyra - Utusan Malaysia

Kita semua nampak baik kerana Allah tutup aib kita – Erysha Emyra

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon Erysha Emyra mengakui berasa risau susulan isu tular melibatkan pendedahan aib yang kebanyakannya tersebar melalui rakan terdekat, sekali gus mengingatkan dirinya agar sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan seharian.

Menurut Erysha, 27, kebanyakan manusia dilihat baik di mata umum kerana Allah SWT masih menutup aib masing-masing.

“Semua orang sebenarnya akan berasa takut sekiranya aib mereka dibuka. Kita semua nampak baik kerana Allah tutup aib kita.

“Kalau suatu hari Allah buka aib kita, kita sendiri tidak tahu sama ada kita bersedia atau tidak. Hakikatnya, kita semua ada dosa dan kisah silam tersendiri,” katanya.

Pelakon drama bersiri Aku Bukan Ustazah itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis peragaan jenama tempatan Dr Cardin yang berlangsung di Visual Three Studio, Seri Kembangan, Selangor, semalam.

Dalam pada itu, Erysha memaklumkan dirinya bersikap terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk dalam kalangan rakan selebriti, namun kebanyakan sahabat rapatnya merupakan rakan sejak zaman persekolahan.

“Saya berkawan dengan semua orang, cuma ramai kawan rapat saya adalah daripada zaman sekolah,” ujarnya.

Mengulas mengenai usaha menjaga aib sendiri, Erysha menegaskan setiap individu perlu sentiasa mengingatkan diri bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara dan memerlukan pedoman untuk menjadi insan yang lebih baik.

“Kita perlu ingat dunia ini sementara. Apa yang kita buat seharusnya untuk diri sendiri, bukan kerana takut orang lain tahu.

“Jangan tinggalkan sesuatu semata-mata kerana tidak mahu dipandang serong, sebaliknya lakukan kerana kesedaran diri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Erysha turut dilantik sebagai wajah bagi jenama tempatan Dr Cardin untuk edisi Hari Raya tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN