King, filem pertama Shah Rukh Khan berlakon dengan anak perempuan - Utusan Malaysia

King, filem pertama Shah Rukh Khan berlakon dengan anak perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUMBAI: Filem King dijangka menjadi antara karya Bollywood paling dinanti oleh peminat sinema pada tahun 2026, sekali gus menandakan kemunculan semula bintang tersohor Shah Rukh Khan selepas beberapa tahun menyepi daripada layar perak.

Lebih istimewa, King turut mencatat sejarah peribadi buat aktor berusia 60 tahun itu apabila buat pertama kali  bergandingan dengan puterinya, Suhana Khan, dalam sebuah naskhah layar lebar.

Menurut laporan Variety, filem berkenaan menyaksikan Shah Rukh Khan kembali bekerjasama dengan pengarah Siddharth Anand selepas kejayaan mereka menerusi Pathaan pada 2023.

Tidak menghairankan apabila King tersenarai sebagai antara filem paling dinanti di laman IMDb, memandangkan peminat sudah hampir tiga tahun tidak menyaksikan kemunculan aktor yang digelar King of Bollywood itu di pawagam.

Shah Rukh Khan kali terakhir membintangi filem Dunki pada 2023, sebuah karya bergenre komedi yang menerima sambutan menggalakkan.

Antisipasi terhadap King semakin memuncak apabila ia turut menampilkan kolaborasi sulung Shah Rukh Khan bersama Suhana Khan. Selain itu, kos produksi yang mencecah 3.5 bilion rupee (sekitar RM200 juta) menambahkan lagi jangkaan tinggi dalam kalangan peminat.

King merupakan filem aksi berskala besar. Dalam paparan first look yang dikongsikan sebelum ini, Shah Rukh Khan tampil dengan imej berbeza dan lebih garang, berambut kelabu serta mempunyai kesan luka di wajah, seolah-olah membayangkan perjalanan berat watak yang dibawakannya.

Setakat ini, pihak produksi masih belum mengeluarkan sinopsis atau plot rasmi. Namun, beberapa media India melaporkan bahawa King merupakan filem aksi penuh ketegangan yang mampu memacu adrenalin penonton.

Watak utama dikatakan dicipta bagi mentakrifkan semula makna gaya dan karisma, selari dengan pendekatan yang sering diketengahkan Siddharth Anand dalam karya-karya terdahulu.

Filem ini dipercayai mengisahkan hubungan antara seorang pembunuh upahan yang dingin dan kelam (Shah Rukh Khan) dengan seorang gadis muda yang berada dalam bahaya (Suhana Khan). Jalan cerita akan memperlihatkan bagaimana lelaki tersebut melindungi serta melatih gadis itu untuk terus hidup dalam dunia penuh keganasan dan ancaman.

Selain gandingan bapa dan anak itu, King turut dibintangi Abhishek Bachchan dan Abhay Verma. Filem berkenaan dijadualkan ditayangkan pada 24 Disember 2026.

Sebelum ini, Shah Rukh Khan sememangnya dikenali sebagai seorang bapa yang sentiasa menyokong penglibatan anak-anaknya dalam industri perfileman. Beliau pernah muncul dalam promosi projek arahan sulung anak lelakinya, Aryan Khan, berjudul The Ba**ds of Bollywood* terbitan Netflix.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN