Kes rujuk Datuk Red, Adira ditangguh 16 Februari - Utusan Malaysia

Kes rujuk Datuk Red, Adira ditangguh 16 Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan pertama kes pengesahan lafaz rujuk yang difailkan oleh usahawan, Datuk Seri Adnan Abu Bakar atau Datuk Red terhadap bekas isterinya, penyanyi Adira Suhaimi.

Peguam syarie yang mewakili Datuk Red, Nor Haiza Marina Mat Ramli berkata, perbicaraan berkenaan akan dijalankan secara tertutup dan perlu dihadiri oleh kedua-dua pihak iaitu plaintif serta defendan.

Menurutnya, kes tersebut difailkan ketika tempoh idah selepas perceraian pasangan berkenaan, namun pihaknya tidak memperincikan sama ada rujuk tersebut berlaku secara lafaz atau sebaliknya.

“Hari ini merupakan sebutan pertama kes pengesahan lafaz rujuk yang telah difailkan Datuk Red. Pada prosiding ini, pihak defendan sepatutnya mengemukakan pembelaan bagi menjawab tuntutan yang difailkan.

“Bagaimanapun, peguam syarie pihak defendan memaklumkan bahawa Adira tidak dapat hadir. Oleh itu, mahkamah menangguhkan kes ini untuk perbicaraan secara tertutup pada 16 Februari depan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Tambah Nor Haiza, pihaknya turut mengemukakan surat peringatan kepada Adira dan ahli keluarganya berkaitan hantaran media sosial berhubung kes tersebut serta isu halangan komunikasi antara Datuk Red dengan anak-anak.

“Kami menyerahkan surat peringatan berkaitan hantaran-hantaran di media sosial yang melibatkan kes rujuk ini kerana terlalu banyak ulasan awam yang boleh menjejaskan prosiding mahkamah.

“Selain itu, surat peringatan turut melibatkan isu halangan komunikasi antara Datuk Red dengan anak-anaknya. Buat masa ini, beliau hanya boleh berhubung dengan anak-anak melalui orang tengah dan bukan secara langsung dengan Adira,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan berkata, pihaknya enggan mengulas lanjut mengenai isu pengesahan lafaz rujuk tersebut bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap prosiding mahkamah.

“Kami tidak mahu membuat sebarang kenyataan terperinci kerana kes masih dalam proses dan akan dibicarakan secara tertutup. Kami juga tidak mahu sebarang sentimen luar mempengaruhi perjalanan perbicaraan nanti,” katanya.

Terdahulu, Datuk Red memfailkan permohonan pengesahan rujuk di Mahkamah Syariah Gombak Barat pada Disember tahun lalu.

Untuk rekod, Datuk Red dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015, namun perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian pada 24 April lalu. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan berkenaan dikurniakan beberapa orang anak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN