PETALING JAYA: Tiada angin, tiada ribut, pelakon, Beto Kusyairy tampil memberikan peringatan buat seseorang individu untuk membayar hutang.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Beto menegaskan bahawa jumlah wang ringgit yang dipinjamkan kepada individu tersebut adalah atas dasar ihsan dan kepercayaan sebagai seorang kawan.
“Bayarlah hutang kawan. Dia bagi pinjam bukan sebab dia banyak duit, tapi sebab dia anggap kita sebagai kawan.
“Bagi pinjam sebab tak mahu kawan susah dekat sini. Minta hutang sebab tak mahu kawan susah di ‘sana’ (akhirat). Kira dua kali tolonglah kan?,” katanya.
Dalam masa sama, pelakon Imaginur itu turut memberi sindiran halus kepada individu tersebut yang mampu pergi bercuti dan sakan berbelanja meskipun hutang belum selesai.
Beto bagaimanapun tidak mendedahkan identiti individu yang berhutang tersebut malah sempat mengingatkan agar perkara itu diselesaikan dengan segera.
“Janjinya esok lusa langsai. Membawa ke berminggu. Kemudian berbulan. Lalu bertahun. Tawaran ada. Beli macam-macam.
“Mampu pergi bercuti. Tiada segan silu. Kawan konon. Kita ini perhati saja diam terkulat-kulat lagi. Ada yang terasa? Cepat-cepatlah langsaikan hutang kawan itu. Takut tak sempat nanti, naya,” tegasnya.










