Kalau ada masalah, jumpa, selesai berdepan - Didie Alias

Kalau ada masalah, jumpa, selesai berdepan – Didie Alias

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Didie Alias menasihati rakan selebriti yang sedang berselisih faham agar menyelesaikan sebarang konflik secara matang dan profesional, bukannya meluahkan perasaan di media sosial.

Menurut Didie, 54, platform digital bukan medium terbaik untuk menangani pertikaian kerana ia berpotensi memburukkan lagi keadaan selain mengundang pelbagai reaksi negatif daripada netizen.

“Tidak perlu luahkan di media sosial. Kalau ada masalah, jumpa dan selesaikan secara berdepan. Itu lebih profesional,” katanya.

Tambahnya, penyelesaian secara bersemuka mampu mengelakkan salah faham dan spekulasi berlebihan yang sering timbul apabila sesuatu isu dikongsikan secara terbuka.

“Kalau saya tidak puas hati, saya akan jumpa terus individu berkenaan. Jika diluahkan di media sosial, netizen pula yang ‘menambah perisa’,” ujarnya.

Didie berkongsi pandangan itu ketika sesi siaran langsung di TikTok selepas diminta mengulas mengenai isu pergaduhan antara dua selebriti yang kini hangat diperkatakan.

Bagaimanapun, beliau enggan menuding jari atau memihak kepada mana-mana pihak, sebaliknya percaya kedua-dua figura terbabit cukup matang untuk mengendalikan situasi tersebut dengan baik.

“Saya tidak mahu salahkan sesiapa. Masing-masing sudah dewasa, berkeluarga atau bakal mendirikan rumah tangga,” katanya.

Dalam pada itu, Didie menegaskan kepentingan menjaga hubungan sesama rakan industri demi memastikan keharmonian dunia seni tanah air.

“Media sosial sebaiknya digunakan untuk berkongsi hal berkaitan kerja. Perkara remeh tidak perlu diperbesarkan. Industri kita kecil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN