Benar kata orang, dalam dunia hiburan ini tiada apa yang kekal, yang kekal cuma gosipnya. Minggu depan, industri radio dikatakan bakal terasa sedikit sunyi apabila nama besar yang satu ini tidak lagi kedengaran mengisi ruang udara.
Ya, Cik Bunga dengar cerita, kerusi penyampai yang biasa diduduki Jep Sepahtu bakal kosong, sekali gus mencetuskan pelbagai tanda tanya dalam kalangan pendengar setia.
Menurut sumber, Jep dikhabarkan sudah tidak lagi bersama Sinar bermula minggu hadapan. Ceritanya, kontrak sudah tamat.
Tetapi, ada yang kata, perpisahan ini berlaku secara profesional. Tiada drama air mata, tiada sindiran di media sosial.
Namun, Cik Bunga dengar ada cerita tambahan yang membuatkan gosip ini semakin berempah. Kononnya Jep sendiri memilih untuk tidak menyambung kontrak yang baharu kerana isu bayaran gaji yang dikatakan tidak lagi setanding seperti dahulu.
Kalau betul seperti yang dibisikkan, orang kata logik juga. Bila seseorang sudah lama dalam industri, pengalaman dan populariti pun makin meningkat, mestilah harapan terhadap ganjaran juga berubah.
Jep bukan calang-calang artis. Di luar sana, peluang lain sentiasa menunggu, projek hiburan, bisnes, kemunculan khas, semuanya boleh memberi pulangan yang lebih fleksibel tanpa terikat jadual harian di studio radio.
Jadi, buat apa memaksa diri kalau hati dan angka sudah tidak sehaluan?
Tetapi apa pun, mungkin Jep sendiri pun sudah ada perancangan sendiri. Doakan sahaja yang terbaik.










