Jangan jangkakan saya boleh menyanyi macam dulu - Fauziah Latiff - Utusan Malaysia

Jangan jangkakan saya boleh menyanyi macam dulu – Fauziah Latiff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Fauziah Latiff, berharap peminat dapat memahami keterbatasan dirinya yang kini berusia 55 tahun, sekali gus tidak lagi memiliki tenaga seperti pada era kegemilangan sekitar 1990-an.

Meskipun demikian, Fauziah atau nama penuhnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff memberi jaminan akan memberikan persembahan terbaik dari segenap sudut dalam konsert sulung berskala mega, ‘4 Decads Fauziah Latiff Live in Concert’, yang dijadualkan berlangsung pada 6 Mei depan.

“Jangan jangkakan yang saya boleh menyanyi macam dulu. Saya percaya peminat yang hadir nanti memahami perkara itu.

“Dari sudut nyanyian dan persembahan, pastinya berbeza selari dengan faktor usia. Saya tidak muda lagi dan antara kebimbangan utama adalah memastikan konsert ini berjalan lancar serta sempurna,” katanya.

Fauziah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan yang berlangsung di Mandarin Oriental Hotel, semalam.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Enggan itu mengakui tidak pernah berasa ralat meskipun hanya tampil dengan konsert solo selepas hampir empat dekad bergelar anak seni.

Namun, Fauziah memohon maaf kepada peminat kerana mengambil masa yang lama untuk merealisasikan impian tersebut.

“Saya tak pernah rasa ralat menunggu selama 40 tahun untuk mengadakan konsert solo. Wallahi, rasa takut itu memang ada kerana tanggungjawabnya besar.

“Tapi bila difikirkan kembali, saya sudah melalui pelbagai jatuh bangun dalam industri. Jadi, ini masa untuk saya menerima cabaran dan konsert ini juga sebagai tanda penghargaan buat peminat yang membesar bersama lagu-lagu saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fauziah turut berkongsi sebab dia bersetuju bekerjasama dengan penganjur Ideatelier yang diterajui pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail.

“Saya seorang yang berprinsip dalam kerja. Bila melihat etika kerja pasukan Ezuwan yang sangat bersistematik dan cekap, saya benar-benar kagum.

“Itulah yang meyakinkan saya untuk menerima tawaran ini. Saya mahu mengembalikan memori lama, terutamanya di era Kau Merubah Segalanya,” katanya.

Konsert berkenaan dijangka menyajikan rangkaian lagu ikonik yang menjadi penanda aras perjalanan seni Fauziah Latiff, antaranya Dia, Sekali Ini Saja, Teratai Layu Di Tasik Madu, Setia Ku Korbankan dan Menanti Di Ambang Syurga, selain beberapa kejutan eksklusif yang bakal diumumkan kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN