KUALA LUMPUR: Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri memuji pelakon popular, Izara Aishah sebagai seorang artis kelas A yang memiliki aura tersendiri serta nilai eksklusif sehingga membuatkan dirinya tertarik untuk menjalin kerjasama.
Aliff, 39, berkata, pemilihan Izara sebagai rakan kolaborasi bagi koleksi beg tangan terbaharu AS x Izara dibuat kerana personaliti dan pembawaan pelakon itu yang dilihat mempunyai kelas serta gaya tersendiri.
“Dia wanita yang ada kelas dan ada gaya. Lagi saya rasa ‘takut’ nak dekati dia, lagi saya teringin nak bekerjasama. Saya kenal ramai artis, tetapi Izara ada ‘vibes’ yang berbeza, nampak mahal.
“Saya tak sangka pun dia sudi terima pelawaan saya. Kita cuba nasib sahaja dan Alhamdulillah, kerjasama ini berjaya direalisasikan. Saya sangkakan dia ‘diva’, tetapi rupanya sangat baik dan merendah diri,” katanya.
Aliff berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran bersama Izara Aishah dan Kartina Aziz di Wisma D’Herbs, Damansara Perdana, baru-baru ini.
Tambah bapa kepada enam cahaya mata itu, Izara seorang yang profesional serta jelas dengan prinsip termasuk menetapkan syarat dan batasan tertentu sepanjang kerjasama dijalankan.
“Izara menetapkan syarat tersendiri. Kita tahu apa yang boleh dan apa yang tidak. Bila buat video promosi, taklah sampai berjoget atau berpegangan tangan. Saya memang jenis gila-gila, tetapi saya tahu batasan.
“Walaupun artis kelas A, cara pembawaan dirinya sangat ‘humble’, macam artis baharu nak mula,” ujarnya.
Sementara itu, Izara berkata, kerjasama bersama Aliff dan pasukannya berjalan lancar kerana masing-masing sudah memahami batasan dan cara kerja sejak awal perbincangan.
“Saya sebenarnya tak perlu cakap banyak. Sebelum bekerjasama pun, mereka sudah tahu cara saya, batasan dan prinsip kerja saya. Itu yang buatkan saya senang bekerjasama dengan mereka.
“Datuk sangat menghormati saya dan merendah diri. Cara dia melayan saya membuatkan saya terbuka hati untuk menjalin kerjasama ini,” katanya.










