Impi berduet dengan Siti Nurhaliza, sampai mati belum tentu dapat - Aliff Syukri - Utusan Malaysia

Impi berduet dengan Siti Nurhaliza, sampai mati belum tentu dapat – Aliff Syukri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usahawan sensasi, Aliff Syukri Kamarzaman meluahkan hasrat terpendamnya untuk berduet dan bekerjasama dengan biduanita negara, Siti Nurhaliza, namun mengakui sedar akan kedudukan dirinya dan tidak pernah meletakkan harapan yang terlalu tinggi.

Aliff Syukri, 38, berkata impian itu sudah lama bersemi, malah beliau sering menghadiahkan buah-buahan dan barangan lain sebagai tanda penghargaan, tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Saya ada hasrat nak bekerjasama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza, tapi saya sedar saya insan kerdil. Hadiah yang saya beri itu ikhlas, bukan untuk mengharapkan apa-apa,” katanya.

Menurutnya, dalam dunia perniagaan dan hiburan, ramai yang mengimpikan kerjasama dengan biduanita negara itu, namun dia memahami bukan mudah untuk merealisasikannya.

“Saya juga teringin nak berduet dengan beliau, tapi rasanya sampai mati pun belum tentu dapat. Bagaimanapun, tak salah untuk berangan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis ramah mesra media bersama Datuk Seri Aliff Syukri dan pelakon Izara Aishah di sebuah restoran, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Aliff turut mendedahkan hasratnya untuk berduet dengan penyanyi tersohor, Ziana Zain, namun masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Pengurus saya sudah mendekati Ziana Zain bulan lepas, tapi masih menunggu jawapan. Nak minta pada Datuk Seri Siti Nurhaliza pun saya segan kerana menghormati jadual konsert beliau yang padat,” katanya.

Tambah Aliff, tahun ini menjadi titik tolak buat dirinya untuk lebih serius dalam bidang nyanyian, khususnya memperkemaskan aspek vokal.

“Saya nak orang dengar betul-betul suara saya. Selama ini orang lebih nampak saya sebab visual, bukan vokal,” katanya sambil mengakui sudah mengikuti kelas vokal sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, guru vokal memaklumkan dirinya memiliki tona suara yang unik, selain menerima maklum balas positif daripada isterinya yang telah mendengar lagu raya solo terbaharu yang bakal dilancarkan tahun ini.

Aliff bagaimanapun menegaskan penghasilan lagu bukan sekadar mengejar populariti, sebaliknya sebagai hobi dan hadiah buat peminat setianya.

“Bila saya ada lagu untuk dikongsi dengan peminat, itu sudah cukup menggembirakan saya,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu Aliff sekali lagi bakal mencipta fenomena baharu menerusi jenama beg tangan AS dengan kolaborasi bersama pelakon, Izara Aishah.

Menampilkan empat koleksi eksklusif iaitu Bolaia, Belta, Bucket & Moola, kesemua koleksi rekaan ini dipilih sendiri oleh Izara Aishah.

Aliff juga turut mengumumkan akan memberi ganjaran sebuah kereta Perodua Bezza kepada pembeli bertuah sebagai tanda sokongan mereka terhadap jenama AS.

Untuk info, pembeli harus membeli beg tersebut semasa sesi pelancaran di platform penstriman langsung pada 25 Januari 2026, jam 8:00 malam menerusi platform akaun TikTok Shop @papalarisofficial.

Pembeli yang membuat pembelian koleksi Izara x AS pada malam tersebut secara langsung berpeluang melayakkan mereka menyertai cabutan bertuah bagi memenangi kereta Perodua Bezza.

Cabutan akan dibuat pada 31 Januari 2026 pada pukul 8:00 malam dan pemenang akan diumumkan pada malam tersebut.

Pembeli yang telah membeli pada sesi penstriman langsung pada 25 januari perlu menonton sesi live pada 31 Januari bagi mendapatkan kata kunci kepada pembeli bertuah yang dihubungi secara langsung.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN