PETALING JAYA: “Sudut pandangan menyaksikan lagu yang ditulis dan dihasilkan bersama adik saya buat penyanyi lagenda Datuk Seri Siti Nurhaliza didendangkan di konsertnya di hadapan 65,000 penonton secara langsung.”
Begitulah ungkapan penyanyi, Aisha Retno ketika berkongsi reaksinya apabila melihat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu ciptaannya, Kesuma di konsert Legasi 30 Siti Nurhaliza, pada Sabtu lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram, Aisha dilihat tidak dapat menahan rasa sebak dan bangga apabila lagu yang dicipta khas untuk penyanyi tersohor negara tersebut turut menjadi siulan ribuan penonton pada malam bersejarah itu.
“Terima kasih TokTi kerana menyebut nama saya sebagai penghargaan. Ia sangat bermakna untuk saya,” katanya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Samudera itu turut berpuas hati dengan cara penyampaian Siti menyanyikan lagu tersebut dengan baik seperti ketika menjalani proses rakaman.
“Terima kasih TokTi untuk persembahan ini. Sayang TokTi selamanya. Terima kasih atas persembahan mega Kesuma.
“Majulah muzik etnik tradisional selamanya tanpa ditelan zaman,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya turut meluahkan rasa kagum dan memuji keberanian Aisha yang berjaya menghasilkan karya agung seperti Kesuma buat Siti Nurhaliza.










