Ghea Indrawari bawakan Konsert Rasi Jiwa ke Kuala Lumpur, Mei ini - Utusan Malaysia

Ghea Indrawari bawakan Konsert Rasi Jiwa ke Kuala Lumpur, Mei ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Indonesia, Ghea Indrawari, bakal kembali menemui peminat tempatan menerusi konsert solo istimewa bertajuk “GHEA INDRAWARI: RASI JIWA – Live in Kuala Lumpur” yang dijadualkan berlangsung pada 8 Mei 2026 di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert berkenaan dijangka menyajikan persembahan sarat emosi dan keintiman selari dengan identiti muzik Ghea yang sinonim dengan lagu-lagu balada berteraskan kejujuran perasaan serta penceritaan jiwa.

Berkongsi mengenai konsep konsert itu, Ghea berkata, Rasi Jiwa membawa falsafah tentang penerimaan diri dan perjalanan emosi manusia yang tidak semestinya sempurna.

“Rasi Jiwa menolak standard ‘harus baik-baik saja’ dan mengajak anak muda untuk mengakui proses termasuk fasa bingung, jatuh serta belum selesai,” katanya pada sidang media konsert tersebut.

Menurutnya, konsert itu turut direka bagi memberi pengalaman lebih dekat kepada penonton dengan penawaran beberapa kategori tiket termasuk zon berdiri bebas, tempat duduk bernombor serta kawasan VIP berhampiran pentas.

Menariknya, kategori tiket dinamakan berdasarkan fasa emosi kehidupan dengan harga ditawarkan bermula RM198 hingga RM238 bagi zon berdiri tingkat bawah serta RM338 hingga RM368 bagi tempat duduk tingkat atas.

Bagi peminat setia yang mahukan pengalaman eksklusif, penganjur turut menawarkan VIP Suite berharga RM5,000 serta pakej Meet & Greet pada harga RM300.

Pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi konsert dilihat bertepatan dengan konsep Rasi Jiwa yang menekankan elemen keintiman serta interaksi emosi antara artis dan penonton.

Tiket konsert “RASI JIWA – Live in Kuala Lumpur” boleh didapati menerusi laman web rasmi GheaRasiJiwaKL.com dan platform jualan tiket LOKET dengan jualan pra-pendaftaran pada 10 Januari 2026 bermula jam 10 pagi, diikuti jualan awam pada 11 Januari 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN