DUNIA hiburan tanah air pada era 90-an dimeriahkan dengan kemunculan banyak kumpulan wanita yang diangkat sebagai idola anak muda waktu itu.
Di awal zaman itu, kumpulan Feminin dan Res 2 lebih dahulu mencipta nama dan dianggap sebagai pencetus kepada kelahiran kumpulan Melayu pop (M-Pop) wanita ketika itu.
Feminin dan Res 2 menjadi kumpulan yang berpengaruh besar pada ketika itu. Mereka menjadi ikutan anak muda bukan semata-mata kerana muzik yang mereka bawakan, tetapi juga imej yang ditampilkan.
Freshies pula membuat kemunculan ketika Feminin dan Res 2 mendominasi dunia hiburan tanah air.
Freshies yang dianggotai Mazlena Morat, Shaziena Wahid, Melor Ulong Idris dan Noor Hasimah Abu Hassan meletakkan nyanyian sebagai keutamaan berbanding penampilan.
Freshies ketika itu dikatakan melawan arus. Ketika Feminin dan Res 2 megah dengan trend yang identical, Freshies pula muncul dengan penampakkan berbeza.
Empat anggota Freshies pada masa itu tidak menjangkakan yang mereka pada ketika itu bakal dihujani kritikan dek kerana imej mereka yang disifatkan sebagai ‘keterbelakang’.
Setiap laporan berita, artikel mengenai Freshies pada waktu itu lebih cenderung mengupas tentang imej dan penampilan mereka. Sehinggakan satu ketika Freshies pernah dilabel tiada identiti.
“Itulah cabaran dan kesukaran yang kami hadapi pada waktu tersebut. Ramai wartawan yang mengkritik penampilan kami. Boleh kata, dalam 10 wartawan, hanya tiga yang memberi sokongan.
“Feminin dan Res 2 ibaratnya sudah meletakkan trademark, yang artis berkumpulan wanita tampil dengan cara pemakaian, imej rambut, penggunaan aksesori yang dari hujung rambut sampai hujung kaki, sama.
Mereka kelihatan comel.
“Kami pula dianggap lain saat kemunculan pada 1992. Potongan rambut kami berlainan, ketinggian kami tidak sama, warna pakaian juga berbeza, justeru kami dianggap tidak memiliki imej.
“Ketika itu tiada satu pun artikel yang menceritakan persembahan vokal kami. Semuanya mengkritik mengenai imej,” kongsi Shaziena Wahid atau lebih mesra disapa Ejie.
Ejie yang sering menggalas tugas sebagai jurucakap Freshies, tidak menafikan mereka menyimpan rasa muak dan kecewa yang menebal apabila ketika itu diasak dengan pelbagai soalan mengenai imej.
“Setiap kali kami diwawancara, itulah pertanyaan yang tidak pernah lekang dari bibir wartawan. Panjang lebar kami bercakap mengenai muzik dan hala tuju kumpulan, sudahnya pasal imej jugalah yang menjadi kupasan utama dalam artikel mengenai kami.
“Pernah juga rasa seperti ingin menjawab dengan tegas kepada wartawan yang kami ini sebenarnya bosan dengan soalan klise yang terpaksa hadap. Namun ia tidaklah berlaku.
“Tapi kami tidak pernah terasa hati dengan wartawan. Kami faham itu adalah tugas mereka. Hubungan kami dengan pengamal media juga baik sehinggalah ke hari ini,” katanya lagi.
Bukan berniat mahu menyalahkan, tetapi Ejie tidak menolak ketiadaan dorongan pengurus mereka, mendiang Benny Arjuna yang pada ketika itu tidak menekankan soal imej dan penampilan membuatkan Freshies agak ketinggalan pada aspek tersebut.
“Setiap kali keluar artikel yang mengkritik penampilan kami, Benny nasihatkan agar kami abaikan sahaja tulisan-tulisan tersebut. Dia minta kami terus memberi fokus kepada nyanyian.
“Ada masanya kami pun agak ‘garu kepala’ juga apabila disuruh menutup mata dan pekakkan telinga terhadap kritikan yang kami terima.
“Tapi kami waktu itu bersyukur. Semua artikel negatif yang ditulis pasal kami tidak menutup rezeki kami. Malah kami terus dihujani tawaran membuat persembahan selain lagu-lagu kami juga mendapat sambutan,” ujarnya.

TUAH SEBAGAI PENYANYI LATAR
Empat remaja: Ina, Ejie, Melor dan Shima disatukan sebelum kesemua mereka digabungkan pada tahun 1992.
Syarikat rakaman, BMG Music Pacific ketika itu merancang untuk melahirkan sebuah penyanyi berkumpulan wanita memandang label tersebut sudah menaungi ramai penyanyi solo dan sebuah kumpulan rap lelaki iaitu Nico.
Pengurus, Benny Arjuna melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan keserasian vokal Freshies. Antara kaedah paling berkesan adalah melantik keempat-empat anggota Freshies untuk menjadi penyanyi latar bagi persembahan artis-artis ternama ketika itu.
“Kami ketika baru menapak, sudah ditugaskan mengiringi konsert Double Trouble Wings dan Search. Itulah pengalaman pertama kami sebagai penyanyi latar. Selepas mendapat keserasian vokal, barulah kami ditugaskan masuk ke studio bagi merakamkan album pertama iaitu Freshies.
“Lagu Sakitnya Rindu yang dimuatkan dalam album itu, menerima sambutan yang cukup baik sehingga membuatkan lagu itu bertahan selama lapan minggu dalam carta muzik tempatan.
“Tapi saya tidak nafikan yang Freshies ketika itu sukar menandingi populariti Feminin dan Res 2. Pendapatan kami pun tidaklah besar. Kebanyakan masanya bayaran daripada stesen televisyen juga agak lewat.
“Jadi, untuk kelangsungan hidup kami buat kerja-kerja sambilan jadi penyanyi latar untuk rakaman lagu yang dinyanyikan artis lain. Antaranya adalah untuk album Hari Raya Ramlah Ram yang diterbitkan komposer dan penulis lirik terkenal, Saari Amri,” kongsi Ejie.

TIDAK PERNAH BERMASAM MUKA
Pembubaran Freshies, menurut Ejie, bulan berpunca kerana bermasam muka atau pergaduhan seperti yang pernah disangkakan segelintir pihak sebelum ini. Sebaliknya, sekitar penghujung 1996, setiap ahli Freshies sudah sudah membawa haluan masing-masing.
“Saya meninggalkan Freshies pada 1995 kerana mendirikan rumah tangga. Ahli yang lain pada waktu itu masih kekal, masih membuat persembahan cuma tidak menghasilkan album baharu.
“Freshies berakhir pada lewat 1996 tapi kami kekal bersahabat sampai ke hari ini. Masing-masing sudah bawa haluan sendiri. Ina teruskan kerjaya secara solo.
“Shima dalam pada itu meneruskan karier di awan biru sementara Melor pula yang kini tinggal di luar negara, memberi tumpuan kepada karier nyanyiannya di sana,” ujarnya.










