KUALA LUMPUR: Aktres tersohor tanah air, Nur Fazura, mengumumkan secara rasmi mengenai pengundurannya daripada dunia lakonan drama televisyen tempatan selepas lebih dua dekad mewarnai industri seni tanah air.
Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 43, berkata keputusan besar itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor utama termasuk mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya yang kini berusia enam tahun.
Menurutnya, buat masa ini dia tidak lagi menerima sebarang tawaran drama daripada mana-mana stesen televisyen tempatan, namun masih terbuka untuk mempertimbangkan penglibatan dalam projek filem.
Bagaimanapun, akui Fazura, ia bergantung kepada kesesuaian dan konsep naskhah yang ditawarkan.
“Buat masa ini, secara rasminya saya mengumumkan bersara daripada lakonan drama di semua stesen televisyen di Malaysia.
“Untuk filem pula, saya masih terbuka dan fokus saya lebih kepada projek filem di Malaysia mahupun Indonesia,” katanya.
Fazura berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 di Jakel Mall, di sini, semalam.
Pada majlis tersebut, Fazura turut diumumkan sebagai rakan kolaborasi eksklusif Koleksi Raya 2026 jenama tekstil dan fesyen terkemuka, Jakel.
Mengulas lanjut, Fazura berkata keputusan untuk tidak lagi terbabit dalam drama televisyen dibuat berikutan kekangan masa serta komitmen penggambaran yang panjang, selain faktor kebajikan dan emosi anaknya.
“Fatima sangat rapat dengan saya dan dia mengalami kebimbangan akibat perpisahan.
“Dia tidak boleh berjauhan dengan saya terlalu lama. Jika saya keluar bekerja dalam tempoh yang panjang, dia akan mencari saya,” katanya.
Tambah Fazura, selain kekangan masa, terdapat beberapa faktor lain yang turut mempengaruhi keputusannya untuk berehat daripada drama televisyen, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.
Dalam pada itu, Fazura menegaskan keputusannya diambil bagi menyeimbangkan kerjaya dan tanggungjawab sebagai seorang ibu, sambil menyerahkan segala ketentuan masa hadapan kepada kehendak Ilahi.
“Ia keputusan besar dalam hidup saya. Namun, saya bercakap dengan ‘beralas’ kerana kita tidak mengetahui ketentuan Allah pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Fazura berkata, dia masih aktif dan terbuka untuk terus berkarya dalam bidang muzik di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia, selain sedang mengikuti kelas vokal bagi memperbaiki mutu nyanyiannya.
Fazura memulakan kerjaya lakonan pada usia 21 tahun menerusi filem Bicara Hati pada 2004 dan telah membintangi kira-kira 16 drama sepanjang penglibatannya dalam industri seni.
Antara drama yang melonjakkan namanya ialah Gol & Gincu The Series pada 2006, manakala kemunculan terakhirnya di layar kaca adalah menerusi drama Lelaki Itu yang ditayangkan pada 2024.










