Elizabeth Tan pertimbangkan rawatan IVF - Utusan Malaysia

Elizabeth Tan pertimbangkan rawatan IVF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Memang ada rasa kecewa.”

Demikian luahan pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan, 33, yang mengaku sedikit terkilan kerana belum memiliki cahaya mata.

Kata Elizabeth yang mesra disapa Lizy, sampai sekarang, dia dan suami, Dr. Siew Jim Ding masih menaruh harapan untuk mempunyai anak meskipun dua tahun menanti.

“Kami sudah dua tahun mencuba. Masih belum ada rezeki untuk memiliki zuriat. 

“Tahun ini saya berusia 33 tahun. Ramai menasihatkan saya, termasuk doktor agar berusaha untuk hamil sebelum umur saya mencecah 35 tahun.

“Saya cuba yang terbaik. Kalau masih belum hamil, mungkin saya pertimbangkan kaedah Persenyawaan In-Vitro (IVF) bulan Jun nanti,” katanya yang ditemui pada sidang media dan pelancaran filem Black Ops: Operasi Serigala baru-baru ini.

Akui anak kelahiran Kuala Lumpur ini, dia tidak mempunyai sebarang jawapan mengenai keadaanya yang belum habis selepas dua tahun mencuba mendapatkan zuriat.

“Kadang kala saya malu dengan kawan-kawan yang sudah miliki anak. Saya pernah persoalkan kenapa saya tidak seperti mereka mudah dapat cahaya mata?

“Saya tak tahu apa masalah tubuh saya. Saringan kesihatan telah saya buat namun keputusannya okey. Saya pun tertanya-tanya, kenapa?

“Kalau ditanya tentang perasaan, jujurnya, memang ada rasa kecewa. Sebab sudah dua tahun berkahwin. Setiap kali semak kehamilan, keputusannya negatif.

“Apa pun saya sedang belajar untuk reda dengan ketentuan Tuhan. Mungkin ada sebabnya saya belum diberikan anak. Atau kalau hamil, mungkin saya tak dapat terlibat dalam filem Black Ops,” kongsinya lagi.

Elizabeth dalam pada itu memaklumkan ada sebabnya mengapa dia berharap agar segera hamil.

“Saya mahu anak-anak saya kenal datuk dan nenek mereka. Sekarang usia ayah saya sudah 70 tahun. Sebab itu, kalau boleh saya mahu hamil segera yang boleh,” katanya.

RINDUKAN DUNIA NYANYIAN

Elizabeth dalam pada itu memaklumkan amat merindukan peluang untuk membuat persembahan selepas lama berehat kerana komitmen terhadap dunia lakonan. 

Saya harap tahun ini ada rezeki untuk saya buat persembahan. Belum ada perancangan untuk mengeluarkan single baharu, saya cuma berharap untuk menyanyi atas pentas,” ujarnya.

Penyanyi tinggi lampai ini juga sempat berkongsi tentang masalah kemurungan dan kegelisahan melampau yang berjaya diatasi selepas dia mendapatkan nasihat pakar.

“Ini antara sebab yang membuatkan saya terpaksa membuatkan keputusan untuk berehat sementara daripada membuat persembahan. 

“Tapi saya bersyukur kerana selepas berjumpa pakar dan mengambil ubat seperti disarankan, masalah itu beransur reda,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN