Dua dekad bergelar artis, Farah Ahmad bangga genggam ijazah seni lakon

Dua dekad bergelar artis, Farah Ahmad bangga genggam ijazah seni lakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon berpengalaman, Farah Ahmad meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang menyambung pengajian dalam bidang seni lakon selepas lebih dua dekad bergelumang dalam dunia seni persembahan.

Menurut Farah, peluang tersebut hadir tanpa disangka-sangka ketika dia sedang sibuk dengan komitmen kerja dan tanggungjawab sebagai ibu tunggal.

“Alhamdulillah, ini adalah rezeki yang Allah hadirkan tepat pada masanya. Saya bukan lepasan sekolah seni, sebaliknya belajar melalui pentas teater.Di situlah kelas saya. Namun, dalam dunia hari ini, pengalaman sahaja tidak mencukupi tanpa pengiktirafan akademik sebagai bukti bertulis,” katanya.

Selain itu, Farah mengakui pernah menangguhkan hasrat menyambung pengajian selepas ditanya oleh rakan industri, Vanidah Imran sebelum ini.

Alasannya ketika itu ialah dia perlu mengutamakan tanggungjawab sebagai ibu tunggal.

“Saya perlu bekerja untuk membesarkan anak-anak dan memastikan mereka dapat meneruskan pelajaran hingga ke universiti. Masa dan kewangan menjadi cabaran besar ketika itu,” katanya.

Tahun pengajiannya disifatkan sebagai tempoh paling mencabar apabila dia perlu membahagikan masa antara penggambaran, latihan teater dan penulisan tesis sehingga terpaksa mengorbankan waktu rehat.

Namun, Farah menyifatkan peluang yang diterima menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia dan Meatech Academy sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka.

Dalam masa yang sama, Farah mengakui turut aktif terlibat dalam penggambaran dan pementasan teater dengan sokongan padu daripada Rumpun Seni Mekar Budaya, Istana Budaya serta rakan-rakan produksi.

Farah turut merakamkan penghargaan kepada penyelia dan guru lakonannya termasuk Fauziah Nawi, Fatimah Abu Kasar dan Iryan Damulia atas segala ilmu dan bimbingan yang diberikan.

Selain itu, dia juga memohon maaf kepada peminat yang sering bertanya mengenai kelas lakonan kerana beliau sendiri sedang giat menambah ilmu.

Walau bagaimanapun, Farah masih menawarkan kelas lakonan secara peribadi dan merancang untuk kembali membuka kelas lakonan terbuka pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Farah memaklumkan kini sedang mencari universiti bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana (Master) dan berharap agar doanya dimakbulkan.

“Doakan saya dipermudahkan urusan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN