PETALING JAYA: Pelakon, Puteri Balqis Azizi, 19, mencuri perhatian ramai apabila memuat naik hantaran di media sosial yang secara terbuka mencabar rakan selebriti, Mia Sarah Nasuha, untuk tampil bersemuka.
Puteri Balqis atau lebih mesra disapa Aqish menyelar tindakan Mia yang didakwa cuba meraih simpati dengan mengalirkan air mata ketika ditemu bual pengamal media menerusi satu sesi temu ramah, baru-baru ini.
Dalam temu ramah berkenaan, Mia mengakui enggan lagi menerima tawaran lakonan watak kanak-kanak dan berharap agar pihak produksi memberi peluang kepadanya membawakan karakter yang lebih mencabar.
Menurut Aqish, tindakan tersebut seolah-olah memanipulasi media demi kepentingan peribadi.
“Kau menangis beria di hadapan wartawan, cerita konon banyak kelebihan yang orang tidak tahu. Kau dan seorang lagi kawan kau sama sahaja, hanya tahu gunakan wartawan dan blog untuk kepentingan sendiri,” tulisnya menerusi satu hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Asia 2014 itu turut mendakwa pihak pengurusan dan rakan artis terbabit pernah menghina serta cuba memerangkap ibunya menerusi tawaran pekerjaan palsu.
“Cuba kenakan mak aku cukup-cukup. Kalau mak aku bawa aku waktu itu, apa akan jadi pada kami berdua? Tiada siapa tahu apa yang berlaku di belakang kamera. Blog hanya akan ambil keburukan kami tanpa tahu semua itu kerja geng kau,” katanya.
Tambah Aqish, meskipun keluarganya sering dipandang serong oleh masyarakat, perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mana-mana pihak melakukan pengkhianatan secara senyap.
Malah, pelakon itu turut menyindir gaya hidup individu terbabit yang didakwa bertentangan dengan imej yang dipaparkan di media sosial.
“Jangan lupa ‘open bottle’ ramai-ramai di kelab, gelak besar bila geng kau menang. Lepas itu bercerita tentang agama bila muat naik di media sosial. Boleh ajak aku sekali, sebab keluarga aku kan kurang didikan agama,” tulisnya lagi.
Terdahulu, pada 2022, kemelut antara Aqish dan Mia tercetus apabila Mia didakwa mengeluarkan komen menyentuh latar belakang serta didikan Aqish yang kurang didikan nilai Islam.
Aqish bagaimanapun tampil mempertahankan ibunya dan menegaskan bahawa cara didikan seseorang tidak wajar dihakimi hanya berdasarkan pandangan luaran.
Difahamkan, kedua-dua pelakon itu telah saling memohon maaf, selain Aqish berharap agar kesilapan sama tidak lagi diulangi pada masa akan datang. -UTUSAN










