Nama G-Dragon bukanlah asing dalam industri hiburan global. Dikenali sebagai pemimpin kumpulan K-Pop ikonik, BIGBANG, G-Dragon atau Kwon Ji-Yong juga merupakan ikon budaya pop yang terus memberi pengaruh besar dalam muzik, fesyen dan seni.
Pada 31 Oktober 2024, ikon yang mesra disapa sebagai GD itu membuat kemunculan semula menerusi lagu berjudul ‘Power’ sekali gus menandakan kembalinya beliau sebagai penyanyi solo secara rasmi selepas lebih tujuh tahun menyepi.
Kemunculan semula G-Dragon bukan sahaja diterima baik, malah disambut dengan pujian meluas dari seluruh negara selain lagu-lagunya sering mengungguli carta teratas di pelbagai platfom.
Kembalinya King of K-Pop itu juga menerima liputan membawanya kepada gelaran baharu iaitu ‘Super Idol’ yang kini disegani setiap penghibur tempatan di Korea Selatan.
Tidak muncul dengan tangan kosong, GD juga melancarkan album solonya yang berjudul Übermensch pada Februari 2025 dan disusuli dengan konsert jelajah di seluruh dunia, Übermensch World Tour.
Berikut merupakan fakta menarik mengenai ikon K-Pop ini:-
Permulaan Kerjaya
Pada usia 12 tahun, GD menyertai YG Entertainment yang merupakan salah satu agensi hiburan tersohor di Korea dengan menjalani latihan ketat selama bertahun-tahun.
Sebagai seorang pelatih muda, GD sentiasa fokus dalam melakukan latihan menyanyi, menari, dan penulisan lagu. Usahanya membuahkan hasil apabila beliau muncul sebagai ketua dan rapper utama kumpulan BIGBANG pada tahun 2006.
Debut ini menjadi permulaan perjalanan seni GD yang sentiasa cemerlang dalam industri muzik K-pop. Namun, penyanyi itu mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui kontrak dan memilih untuk meneruskan kerjaya seni secara bebas setelah sekian lama bernaung di bawah agensi hiburan tersohor itu.
GD meninggalkan YG Entertainment secara rasmi pada November 2022 sebaik kontraknya berakhir.

Artis Solo Pertama Korea Cipta Nama di Billboard
Pada 2009, GD melakar sejarah apabila album solonya yang berjudul ‘Heartbreaker mencatat kejayaan di carta Billboard World Albums.
Lebih membanggakan, lagu tersebut sepenuhnya dalam bahasa Korea menjadikannya antara artis solo Korea pertama yang berjaya menembusi pasaran muzik antarabangsa ketika era awal kebangkitan K-Pop.
Peminat Seni Visual dan Pemilik Koleksi Seni Bernilai Tinggi
Bukan sahaja seorang pemuzik berbakat, ikon K-Pop itu juga merupakan pemilik koleksi seni kontemporari bernilai tinggi. Penyanyi yang kini berusia 37 tahun itu juga aktif mengumpul karya seni moden dari pelukis terkenal dan seniman muda Korea.
Selain itu, G-Dragon pernah menganjurkan pameran seni peribadi untuk berkongsi inspirasi dan kreativitinya yang melangkaui muzik. Siapa sangka, penyanyi lagu Crayon ini juga memiliki koleksi lukisan dan karya seni moden yang harganya mencecah jutaan dolar.
Minatnya dalam industri seni visual turut dilihat dalam kolaborasi bersama artis dan pereka antarabangsa sekali gus menjadikan dirinya figura yang versatil dalam dunia muzik, fesyen dan seni.

Idola K-Pop Terkaya di Asia
G-Dragon kini diiktiraf sebagai idola K-Pop terkaya berdasarkan pendapatan dan kejayaan perniagaannya. Selain pendapatan daripada muzik, konsert, dan royalti lagu, dia turut menjana pendapatan lumayan melalui jenama fesyen miliknya, PEACEMINUSONE serta pelbagai kolaborasi dengan jenama antarabangsa ternama.
Keupayaan penyanyi lagu Crooked itu menggabungkan muzik dan perniagaan menjadikan beliau figura yang berjaya dalam pelbagai bidang.
Bijak dan Fasih Beberapa Bahasa Asing
Penyanyi dan penulis lagu ini juga terkenal dengan kemahirannya bertutur dalam beberapa bahasa seperti Inggeris, Jepun, dan Mandarin sekali gus menjadikannya antara artis K-pop yang paling mudah berkomunikasi dengan peminat antarabangsa.
Dalam beberapa temu bual dan acara antarabangsa, G-Dragon sering menunjukkan kemahiran berbahasa asingnya, sekali gus mengukuhkan hubungan dengan peminat di seluruh dunia.
Kebolehan itu bukan sahaja meningkatkan popularitinya, malah membuktikan komitmennya terhadap seni dan budaya global.










