PETALING JAYA: “Sudah 2026, cukuplah hukum orang. Kerja Allah jangan kita ambil.” Demikian kata pelakon, Nora Danish.
Beliau menyeru orang ramai untuk mengubah gaya kehidupan yang lebih positif tanpa menghakimi sesama manusia sempena tahun baru ini.
Kata Nora, setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia sudah diatur indah oleh Sang Pencipta bahkan, hanya Dia yang berhak menghakimi makhluk-Nya.
“Setiap sesuatu yang kita lihat, semua telah Allah aturkan untuk kita yang rasa, kita yang dipilih. Untuk apa? Supaya kita jadi lebih baik,” katanya di Threads.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut telah menuai pelbagai reaksi dalam kalangan netizen malah, ada yang bersetuju dengannya.
Namun, ada juga beberapa pihak yang menyidir pelakon drama Puteri itu untuk menyampaikan mesej yang sama kepada rakan-rakan usrahnya.
Bagaimanapun, rata-ratanya tidak memetik nama mana-mana selebriti yang sering menghadiri majlis ilmu bersama aktres itu.
“Mohon nasihat geng-geng usrah awak juga ya. Kena adil. Jangan ada puak-puak,” komen seorang netizen.
“Orang sekeliling awak yang bermasalah, Nora,” kata seorang pengguna media sosial.










