CHEN EXO tutup jelajah Arcadia di Kuala Lumpur 29 Mac ini - Utusan Malaysia

CHEN EXO tutup jelajah Arcadia di Kuala Lumpur 29 Mac ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan vokalis utama kumpulan popular Korea Selatan, EXO, CHEN bakal mengubat kerinduan peminat tempatan menerusi penganjuran Konsert Jelajah CHEN Arcadia di ZEPP Kuala Lumpur pada 29 Mac 2026.

Konsert berkenaan merupakan sebahagian daripada jelajah global CHEN bagi tahun 2026 yang merangkumi beberapa bandar utama Asia termasuk Taipei, Yokohama, Jakarta, Manila dan Macau, sebelum Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi terakhir jelajah tersebut.

Dikenali dengan kekuatan vokal dan keupayaan menyampaikan emosi yang mendalam, CHEN atau nama sebenarnya Kim Jong-dae, menjanjikan sebuah pengalaman konsert yang imersif menerusi gabungan muzik, visual dan penceritaan emosi. 

Persembahan berjudul CHEN CONCERT TOUR Arcadia in KUALA LUMPUR itu direka khusus untuk membawa penonton menyelami perjalanan emosi menerusi lagu-lagu balada ikonik, karya solo popular serta susunan muzik eksklusif.

Konsert Arcadia turut menampilkan produksi bertaraf dunia dengan penggunaan visual LED sinematik, pencahayaan dinamik dan kejelasan audio berkualiti tinggi, menjadikan setiap persembahan lebih dekat dan bermakna buat penonton. 

Peminat juga bakal dihiburkan dengan lagu-lagu runut bunyi drama Korea terkenal seperti Beautiful Goodbye dan Best Luck, yang menjadi antara karya paling sinonim dengan nama CHEN.

Dengan kapasiti terhad kepada 2,000 penonton, konsert ini menawarkan pengalaman yang lebih intim dan eksklusif. 

Semua peminat yang hadir turut berpeluang menikmati manfaat Miracle Fan, termasuk sesi swafoto secara individu bersama CHEN selepas konsert.

Konsert ini akan berlangsung di ZEPP Kuala Lumpur, dengan pintu dibuka seawal 3.00 petang dan persembahan dijadualkan bermula pada 4.00 petang. 

Tiket ditawarkan dalam beberapa kategori iaitu VIP Standing berharga RM798, CAT 1 Standing (RM698), CAT 2 Standing (RM498), CAT 3 Premium Seating di aras atas (RM598) dan CAT 4 Seating di aras atas (RM398).

Selain sesi swafoto dan kad foto untuk semua peminat, pembeli tiket kategori VIP turut menikmati akses sound check, manakala poster bertandatangan disediakan secara terhad kepada pembeli tiket VIP, CAT 1 dan CAT 2.

Jualan tiket akan dibuka pada Selasa, 23 Disember 2025, dengan pihak penganjur memaklumkan bahawa 50 peratus tiket telah terjual, sekali gus mencerminkan sambutan memberangsangkan daripada peminat tempatan. Dengan jumlah tiket yang terhad, konsert ini dijangka habis terjual dalam tempoh singkat.

Ketua Pegawai Operasi pasukan penganjur, Hans Kim, berkata pihaknya berbesar hati membawa jelajah Arcadia ke Kuala Lumpur dan menyifatkan konsert itu sebagai satu pengalaman emosi yang sukar dilupakan.

Menurutnya, suara dan kehadiran pentas CHEN telah menyentuh jutaan peminat di seluruh dunia, dan persembahan ini memberi peluang yang sangat jarang untuk merasai hubungan tersebut secara langsung. 

Beliau menegaskan bahawa konsert itu bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya sebuah perjalanan seni dan emosi yang lengkap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN