PETALING JAYA: Penyanyi, Elyana berang dengan tindakan seorang individu wanita yang mengejek rupa paras anak angkat perempuannya, Cahaya Ramadhani di salah satu perkongsiannya di Instagram.
Menurut Elyana, dia tidak akan berkompromi dengan tindakan biadab wanita terbabit yang menggelarkan puteri kesayangannya dengan gelaran ‘anak keling’.
“Tunggu aku jumpa kau biadab. Bab anak aku tidak main-main. Aku besarkan anak aku, tak pernah minta ehsan atau belas dari sesiapa pun selama ini.
“Jadi, kenapa kau orang biadab sangat? Adakah anak aku merugikan kau orang? Kenapa nak kene ejek ‘anak keling’? Dosa ke anak keling? Kau hebat sangat ke jadi anak melayu?,” soalnya dalam sebuah hantaran di Threads.
Elyana yang turut mendedahkan identiti wanita berkenaan turut meluahkan rasa kecewanya apabila anak angkatnya itu berdepan dengan ejekan sedemikian pada usia tujuh tahun.
“Dari budak ini kecil, sampai tujuh tahun aku besarkan, tak habis-habis tekanan yang kau orang bagi. Kau ingat anak angkat, anak keling tiada perasaan ke?
“Aku banyak pendam selama ini. Tetapi makin menjadi-jadi perangai syaitan ini,” katanya.
Elyana berkata demikian demi membalas komen seorang wanita yang menghina rupa paras anak angkatnya itu ketika berkongsi momen hari pertamanya melangkah ke alam persekolahan, semalam.
Bagai mahu bersemuka dengan individu tersebut, penyanyi lagu Kalis Rindu itu turut menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang mengenali wanita berkenaan dalam sebuah hantaran di Threads.










