Awal Ashaari tidak nafi teringin timang anak lagi - Utusan Malaysia

Awal Ashaari tidak nafi teringin timang anak lagi

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara terkenal, Awal Ashaari mengakui dia dan isterinya, Scha Alyahya mempunyai keinginan untuk menambah cahaya mata, namun perkara itu perlu dipertimbangkan secara menyeluruh termasuk faktor usia, kewangan serta kesediaan anak-anak mereka.

Menurut Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Haji Ashaari, 44, keputusan tersebut bukan sahaja melibatkan persediaan dirinya dan isteri, malah turut mengambil kira penerimaan anak-anak terhadap kehadiran adik baharu.

“Memang ada keinginan untuk menambah anak, tetapi sebagai manusia kita perlu melihat faktor umur, kewangan dan kesesuaian. Kami pernah melalui jarak usia anak yang jauh, jadi bukan kami sahaja yang perlu bersedia, anak-anak juga perlu bersedia untuk menerima kehadiran adik baharu.

“Saya sendiri bukan muda lagi. Namun saya tidak menolak, kalau ada rezeki, alhamdulillah. Ada juga orang yang berusia tetap dikurniakan anak.

“Kalau satu lagi pun, rasanya seronok,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi beg terbaharunya, The Nexx, semalam.

Awal dalam pada itu memaklumkan perkara berkenaan turut dibincangkan bersama isterinya, khususnya berkaitan persediaan fizikal Scha sebagai seorang wanita.

“Ada berbincang, malah hujung tahun lalu Scha ada bertanya tentang perkara ini. Sebagai wanita, dia perlu bersedia dari segi kesihatan, pengambilan vitamin dan rutin harian kerana dia aktif ke gimnasium serta melakukan senaman intensif.

“Kalau betul-betul nak, kena rancang dengan baik. Namun segalanya bergantung kepada rezeki,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Awal mengakui dia lebih gemar melayan bayi berbanding isterinya yang selesa dengan anak-anak yang sudah besar.

“Saya memang suka bayi, boleh gomol, main dan bergurau dengan mereka. Scha pula lebih suka anak yang sudah besar kerana senang diatur. Kadang-kadang bila tiada bayi di rumah, saya rasa sunyi,” katanya berseloroh.

Sementara itu, Scha Alyahya atau nama penuhnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 43, turut mengakui mempunyai keinginan sama, namun faktor usia menjadi pertimbangan utama sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya dan Awal memang pernah banyak kali berbincang tentang hal ini. Kadang-kadang teringin juga, tetapi saya sudah berada dalam lingkungan usia 40-an. Kalau ada rezeki, saya terima. Saya tidak mencuba terlalu bersungguh-sungguh.

“Kalau ada, ada. Kalau tiada, saya reda. Bukanlah menutup pintu sepenuhnya, cuma melihat kepada faktor umur dan kemampuan,” katanya.

Untuk rekod, Awal dan Scha mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012 di Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya dan dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan, Lara Alana, 12, dan Lyla Amina, 5.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN