PETALING JAYA: Tampil menjernihkan keadaan, personaliti televisyen, Datuk Aznil Haji Nawawi menjelaskan sesi audio siar bersama pelakon, Mia Sara Nasuha yang meraih perhatian baru-baru ini telah dirakam sebelum tercetusnya kemelut dengan Puteri Balqis.
Menurut Aznil yang mesra disapa sebagai Pak Nil, tujuan dia memanggil Mia Sara sebagai selebriti jemputan sesi audio siar tersebut kerana mahu merungkai lebih dalam kenyataannya mengenai dirinya masih dibayangi watak kanak-kanak.
“Podcast ini dirakam selepas Mia Sara membuat kenyataan sedih diberi watak kanak-kanak sahaja.
“Podcast ni jemput Mia susulan kenyataan itu dan ia dirakam sebelum kes beliau dan Aqish meledak. Maaf paknil tutup komen,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Aznil berkata demikian demi meleraikan spekulasi orang ramai selepas dirinya memuat naik potongan video sesi audio siar Kita Kita Aje bersama Mia Sara di saat konflik antara pelakon itu bersama Puteri Balqis sedang hangat menjadi sorotan.
Sejak minggu lalu, nama Mia Sara hangat menjadi bualan di media sosial selepas Puteri Balqis meluahkan rasa kurang senang dengan tindakannya yang didakwa cuba meraih simpati dengan mengalirkan air mata ketika ditemu bual pengamal media, baru-baru ini.
Puteri Balqis juga mendakwa dirinya pernah dibuli, difitnah dan diperangkap oleh Mia Sara, selain mendedahkan pelakon itu aktif melakukan aktiviti tidak bermoral seperti kerap ke kelab malam, minum alkohol dan mengambil bahan terlarang.
Pun begitu, sehingga kini Mia Sara tidak mengeluarkan sebarang kenyataan meskipun pelbagai dakwaan liar mengenainya tular di media sosial.










