KUALA LUMPUR – Kumpulan rock popular, Akim & The Majistret terus mencipta fenomena apabila single terbaharu mereka berjudul Juliet berjaya menduduki tangga ketiga carta Malaysia iTunes Top Songs, sekali gus muncul sebagai satu-satunya lagu Melayu yang berada dalam kelompok tiga teratas bersama dua lagu antarabangsa paling popular ketika ini.
Pencapaian membanggakan itu disifatkan sebagai satu kejayaan luar biasa bukan sahaja buat kumpulan berkenaan, malah kepada industri muzik tempatan yang terus membuktikan karya tempatan masih mendapat tempat di hati pendengar.
Vokalisnya, Akim Ahmad berkata, kejayaan Juliet amat bermakna selepas melalui proses penghasilan yang menuntut komitmen tinggi serta sarat dengan emosi dan penceritaan.
“Kami tidak sangka Juliet akan mendapat sambutan sebegini hebat dan ini adalah hadiah paling bermakna buat kami serta bukti muzik tempatan masih kuat jika disokong peminat,” katanya.
Tambah Akim, pencapaian di carta iTunes itu hadir secara organik hasil sokongan padu peminat tanpa sebarang gimik pemasaran.
“Kejayaan berada di carta iTunes ini sangat kami hargai kerana ia datang secara organik daripada sokongan peminat, kami tidak membeli angka atau gimik sebaliknya Juliet diterima kerana kekuatan lagunya sendiri,” jelasnya.
Menurut beliau, kejayaan tersebut menjadi suntikan semangat buat Akim & The Majistret untuk terus berkarya dengan lebih jujur dan matang pada masa akan datang.
“Ini satu peringatan bahawa peminat sentiasa mahukan muzik yang jujur dan selagi kami ikhlas berkarya, kami percaya Juliet hanyalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Akim & The Majistret bakal melancarkan video muzik rasmi Juliet yang akan ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube Nova Music pada Jumaat ini, jam 3 petang.
Lebih menarik, video muzik berkenaan tampil dengan konsep unik apabila menampilkan sembilan wanita membawa watak Juliet yang terdiri daripada barisan selebriti ternama tanah air iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud, Elly Mazlein, Nadia Brian, Sweet Qismina, Dr Soo Wincci, Evanatie, Nurel, Hawa Rizwana dan Farahdiya sekali gus menurut Akim memberi dimensi baharu kepada penceritaan lagu tersebut.
“Setiap watak Juliet membawa tafsiran tersendiri dan kami mahu peminat memahami bahawa Juliet bukan sekadar lagu cinta biasa, sebaliknya menjadi simbol kekuatan, luka serta keindahan emosi yang dimiliki seorang wanita,” ujarnya.
Sejak dilancarkan, Juliet terus meraih sambutan positif di pelbagai platform penstriman digital dan media sosial, sekali gus mengukuhkan kedudukan Akim & The Majistret sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam landskap muzik tempatan.










