Teruskan minat menyanyi, Soma enggan terjerat rasa ralat - Utusan Malaysia

Teruskan minat menyanyi, Soma enggan terjerat rasa ralat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga dekad mewarnai dunia seni suara, penyanyi Soma, 50, terus yakin masih mempunyai tempat tersendiri dalam pasaran arus perdana, biarpun berdepan pelbagai kritikan netizen.

Soma atau nama sebenarnya Rosmah Sengari berkata, minat mendalam terhadap nyanyian menjadi pegangan utama untuk terus melangkah, selain berpegang teguh pada prinsip dan perancangan yang diatur rapi.

“Saya tidak mahu menoleh ke belakang dengan rasa ralat. Selagi ada masa dan tenaga, saya mahu merealisasikan impian dalam dunia nyanyian.

“Saya juga tidak berniat bersaing dengan artis baharu. Setiap orang ada rezeki dan laluan masing-masing. Saya hanya fokus pada visi sendiri,” katanya.

Pernah bekerjasama dengan nama besar seperti maestro muzik Allahyarham Datuk S Atan dan gitaris legenda Man Kidal, Soma mengakui perjalanan seninya bermula sejak usia 13 tahun apabila aktif menyertai kumpulan nyanyian di kampung serta membuat persembahan di majlis perkahwinan.

“Semuanya bermula kerana minat. Sejak di bangku sekolah lagi saya sudah menunjukkan kecenderungan terhadap nyanyian. Kami menubuhkan kumpulan kecil dan menyanyi di majlis perkahwinan,” katanya.

Menurut Soma, minat terhadap muzik turut dipengaruhi persekitaran keluarga, selain menjadikan penyanyi Ella sebagai sumber inspirasi sejak dahulu.

Baru selesai menjayakan showcase Sebuah Perjalanan yang merangkumkan perjalanan seninya sepanjang tiga dekad, Soma kini merancang tampil dengan single terbaharu berjudul NPD, yang mengetengahkan isu kesihatan mental.

Lagu NPD yang juga merujuk kepada gangguan personaliti narsisistik dijadual dilancarkan tahun depan, hasil ciptaan Belle Fatah dengan lirik ditulis sendiri oleh Soma.

“Lagu ini berkisarkan kesihatan mental kerana ramai berdepan masalah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

“Ada juga individu di sekeliling saya mengalami situasi ini. Saya harap lagu ini dapat memberi kesedaran dan diterima pendengar,” katanya.

Dalam pada itu, Soma tidak meletakkan sepenuh harapan pada bidang seni semata-mata.

Lebih sedekad bergiat dalam bidang kontraktor dan perniagaan, Soma melihatnya sebagai sokongan kewangan penting, terutama ketika peluang dalam dunia seni tidak menentu.

“Saya tidak akan tinggalkan nyanyian. Cuma apabila mula serius menyanyi, saya terpaksa mengurangkan komitmen sebagai kontraktor kerana bidang seni memerlukan fokus sepenuhnya,” katanya.

Soma turut menubuhkan syarikat produksi sendiri dan menyimpan impian menerbitkan album kedua, khusus untuk generasi muda, selain meneroka bidang penerbitan filem.

“Saya minat perniagaan dan seni. Walaupun bergelar penyanyi, saya belajar sendiri mengenai pemasaran, produksi dan pengurusan.

“Ini semua adalah proses pembelajaran berterusan,” katanya yang pernah menyertai pertandingan seperti Sinaran Passport Kegemilangan, Bintang RTM dan Akademi Fantasia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN