PETALING JAYA: Pelakon muda, Kim Azzim mengakui berasa gementar dan menggeletar apabila pertama kali bertemu idolanya, legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, ketika sesi uji bakat filem Sentuhan Wira.
Kim Azzim atau nama sebenarnya Nik Muhammad Azzimuddin Sulusna, 24, berkata, peluang menggalas watak bekas pemain badminton negara itu ibarat mimpi menjadi kenyataan, apatah lagi ia merupakan penampilan sulungnya di layar perak menerusi filem berunsur sejarah sukan negara.
Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka Rashid turut berada dalam barisan panel pemilih pelakon bagi filem yang mengangkat kejayaan Malaysia menjuarai Piala Thomas.
“Ketika hadir ke sesi uji bakat, saya tidak menjangka Datuk Rashid sendiri berada di hadapan saya. Apabila bersalaman dan bertentang mata dengannya, saya terus menggeletar kerana terlalu teruja.
“Sebagai peminat dan bekas pemain badminton peringkat sekolah serta kolej, dapat bertemu idola dan kini menghidupkan wataknya adalah satu impian yang tertunai,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Sentuhan Wira, baru-baru ini.
Anak jati Terengganu itu berkata, pada awalnya dia disenaraikan untuk watak lain sebelum dimaklumkan bakal membawa karakter Rashid, sekali gus menyifatkan peluang tersebut sebagai satu rezeki besar.
“Saya benar-benar teruja namun dalam masa sama berasa gementar kerana memikul tanggungjawab besar untuk membawa watak ikon sukan negara. Walaupun pernah aktif bermain badminton, persediaan rapi tetap diperlukan,” katanya.
Sehubungan itu, Kim Azzim berkata, dia telah memulakan latihan intensif bagi meningkatkan stamina dan kemahiran permainan sebagai persediaan sebelum penggambaran yang dijadualkan bermula awal tahun hadapan.
“Latihan termasuk rutin di gimnasium serta sesi latihan badminton sekurang-kurangnya sejam setiap hari. Lebih istimewa, kami turut dibimbing Datuk Rashid sendiri bersama Datuk Cheah Soon Kit,” ujarnya.
Filem terbitan Victory Pictures itu dijadualkan memulakan penggambaran pada April 2026 dan mengangkat detik gemilang negara menjuarai Piala Thomas 1992, hasil gandingan dua legenda badminton negara, Rashid Sidek dan Cheah Soon Kit.










