Selepas 15 tahun, filem 3 Idiots bakal ada sekuel - Utusan Malaysia

Selepas 15 tahun, filem 3 Idiots bakal ada sekuel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas 15 tahun mencipta fenomena global, filem 3 Idiots akhirnya bakal kembali dengan sebuah sekuel yang dikatakan sedang dalam perancangan pihak produksi.

Menurut laporan media antarabangsa, kesemua pelakon utama iaitu Aamir Khan, Kareena Kapoor Khan, R. Madhavan dan Sharman Joshi dilaporkan bersetuju untuk kembali bagi projek mega arahan pengarah tersohor, Rajkumar Hirani.

Filem asal yang diterbitkan pada 2009 bukan sahaja mencatat kutipan pecah panggung, malah menjadi karya ikonik yang terus relevan sehingga kini kerana mesejnya tentang tekanan akademik, persahabatan dan erti kejayaan sebenar.

Sekuel baharu ini bakal menyaksikan gandingan semula Aamir Khan dan barisan pelakon asal yang kali terakhir bekerja bersama pada filem pertama 3 Idiots.

Kejayaan filem tersebut menjadikannya antara naskhah paling berpengaruh dalam sinema India moden, sekaligus meningkatkan jangkaan terhadap sambungan ceritanya.

Penerbit terkenal, Vidhu Vinod Chopra, turut dikatakan kembali menyertai projek tersebut bersama Hirani dan Aamir Khan, menjadikan ia kolaborasi besar dalam industri Bollywood.

Setakat ini, butiran mengenai jalan cerita 3 Idiots 2 masih dirahsiakan, namun spekulasi awal menyebut filem ini mungkin menampilkan kehidupan Rancho, Farhan dan Raju selepas menempuhi dunia kerjaya serta cabaran baharu dalam kehidupan dewasa.

Di media sosial, peminat dari seluruh dunia meluahkan keterujaan mereka sebaik sahaja berita ini tersebar, dengan ramai menganggap ia sebagai ‘reunion paling bersejarah’ dalam dunia perfileman India.

3 Idiots bukan sekadar filem komedi-drama, tetapi menjadi karya yang mengubah perspektif masyarakat terhadap sistem pendidikan dan tekanan akademik yang melampau.

Dialog-dialog ikonik seperti ‘All is well’ dan babak-babak lucu serta menyentuh hati menjadikan ia sebuah filem malar segar sehingga kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN