JAKARTA: Penyanyi Indonesia, Raim Laode menerima pujian daripada warganet selepas mengambil keputusan menghentikan konsertnya di Bandung meskipun belum sempat menyanyikan lagu hits, Komang, apabila azan Maghrib berkumandang.
Menerusi hantaran di Instagram, Raim berkongsi gambarnya berlatarbelakangkan para penonton.
Raim turut memaklumkan bahawa Komang, lagu yang melonjakkan namanya dalam industri muzik Indonesia, tidak dijadikan persembahan penutup pada malam tersebut.
“Tenang, kita akan bertemu lagi di Bandung. Lain kali saya akan bawakan lagu Komang secara istimewa buat kalian,” katanya.
Raim menegaskan, keputusan menghentikan persembahan dibuat kerana waktu azan sudah hampir masuk dan dia enggan suaranya menenggelamkan suara azan.
“Saya tidak mahu lagu Komang lebih merdu daripada suara azan,” tegasnya.
Menurutnya, kelewatan jadual persembahan akibat pihak penganjur menyebabkan dia tidak sempat mendendangkan lagu penutup itu.
“Saya sedar masalah boleh berlaku, tetapi kerana sudah terlalu dekat dengan waktu azan, saya wajib hentikan.
“Saya tidak mahu panggilan azan tertutup dek lagu-lagu saya,” jelasnya.
Raim turut mengakui bahawa penangguhan persembahan Komang seolah-olah meninggalkan ‘hutang rindu’buat para peminat di Bandung.
Namun, dia berjanji akan menyampaikannya dengan lebih sempurna pada kesempatan yang akan datang.
Tindakan Raim itu mendapat reaksi positif daripada peminat.
Malah warganet memuji kepekaan serta pegangan nilai Islam yang ditonjolkan olehnya.










