Saya memang berdoa semoga Kak Lina berhijab- Ustazah Asma Harun

Saya memang berdoa semoga Kak Lina berhijab- Ustazah Asma Harun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal, Ustazah Asma Harun berkongsi kembali detik manis pertemuannya dengan pelakon dan pengacara popular, Elly Mazlein, atau lebih dikenali sebagai Kak Lina, yang kini tampil berhijab sepenuhnya.

Menurut Ustazah Asma, perkenalan mereka bermula secara tidak dirancang ketika sama-sama menyertai sebuah ekspo di Singapura pada awal tahun ini.

Katanya, reruai (booth) mereka terletak bersebelahan dan suasana sepanjang program berlangsung menjadi ceria dengan gurauan serta sapaan mesra antara mereka berdua.

“Setiap kali berselisih, kami bertegur sapa dan berbalas lawak. Karakter Kak Lina yang sentiasa menceriakan membuatkan semua orang rasa selesa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Mengulas penampilan terbaharu Elly yang berhijrah, Ustazah Asma mengakui dirinya tersentuh melihat perubahan figura kesayangan ramai itu.

“Masya-Allah, hati saya sangat tenang dan terharu. Ada rasa gembira yang sukar digambarkan,” katanya.

Ustazah Asma turut menceritakan momen ketika dia membuat siaran langsung di ekspo tersebut dan secara spontan mengajak Elly menyertai sesi itu.

Dalam perbualan santai itu, katanya, dia telah menunjukkan beberapa produk jualannya termasuk tudung labuh koleksi Dahlia sebelum memakaikan tudung tersebut kepada Elly.

Menurutnya, tindakan itu bukanlah niat berdakwah secara khusus, sebaliknya sekadar mencuba sambil menyimpan doa dalam hati agar Elly suatu hari nanti memilih untuk berhijab.

“Kami borak secara random sahaja. Saya pun tunjuklah apa yang saya jual termasuk tudung labuh Dahlia. Terus saya minta izin nak pakaikan dia, dan sebenarnya dalam hati saya memang berdoa semoga Kak Lina berhijab.

“Doa yang sama saya akan bisik dalam hati jika saya bersalam atau berpeluk dengan mana-mana wanita Islam, tak kira artis atau sesiapa sahaja. Allahu Akbar, kita sayang semua wanita Islam.

“Situasi ketika itu memang sekadar mencuba, bukan sesi dakwah pun. Dan sebaik Kak Lina menyarungkannya, spontan saya memuji dengan ikhlas hati, cantiknya Kak Lina,”ujarnya.

Dalam pada itu, Ustazah Asma berharap penghijrahan Elly dapat menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk mendekatkan diri kepada agama dan tidak bertangguh dalam melakukan perubahan ke arah lebih baik.

“Semoga penghijrahan ini menjadi asbab kebaikan dan contoh buat wanita di luar sana. Moga ia menjadi doa kepada ramai wanita lain bahawa tidak pernah terlalu awal atau terlalu lewat untuk berubah.

“Namun janganlah bertangguh lagi, kerana kematian itu amatlah dekat,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN