Perkataan cerai bukan perkara main-main - Risteena - Utusan Malaysia

Perkataan cerai bukan perkara main-main – Risteena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nur Risteena Munim tampil mempertahankan keharmonian rumah tangganya selepas timbul khabar angin mendakwa perkahwinannya bersama aktor Isa Khan dikatakan sedang dilanda badai.

Menerusi perkongsian di Instagram Story, Risteena, 33, menegaskan bahawa dia dan suaminya berada dalam keadaan baik serta menafikan dakwaan kononnya mereka telah berpisah.

Menurutnya, mereka berdua merupakan individu yang matang dan tidak pernah menjadikan masalah rumah tangga sebagai kandungan media sosial.

“Kami tidak berkongsi urusan peribadi di media sosial dan tidak akan berbuat demikian sampai bila-bila. Semua hantaran yang dimuat naik tidak ada kaitan langsung dengan isu rumah tangga,” jelasnya.

Selain itu, Risteena turut menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan perkataan cerai tanpa sebarang kepastian.

“Perkataan cerai bukan perkara main-main. Jangan menulis atau menyebutnya jika tiada sebarang perceraian atau pergolakan berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Risteena turut menjelaskan mengenai perkongsian suaminya yang sebelum ini mencetuskan pelbagai spekulasi.

Katanya, hantaran berkenaan hanyalah petikan lirik lagu serta kata-kata motivasi yang digunakan sebagai kandungan TikTok dan tidak membawa maksud tersirat.

“Saya sudah bertanya kepada suami dan ia hanyalah ‘quotes’ untuk kandungan.

“Kami sibuk menguruskan perniagaan, jadi tidak perlu diperbesarkan. Elakkan fitnah dan bercakaplah perkara yang baik-baik sahaja,” ujarnya.

Sebelum ini, Isa Khan atau nama penuhnya Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan, 32, memuat naik hantaran berbentuk refleksi diri yang menyentuh soal cinta dan takdir, sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.

Perkongsian itu disalah tafsir oleh segelintir netizen sebagai petanda pergolakan rumah tangga, namun dakwaan tersebut kini telah ditepis sepenuhnya oleh Nur Risteena.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN