KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu berbakat besar, Hadie Elfardie Suhaimi, 17, mengakui populariti yang dikecapinya kini membawa pelbagai perubahan dalam kehidupannya termasuk dari segi kebebasan pergerakan dan perhatian masyarakat.
Menurut Hadie, ketika belum dikenali, dia bebas bergerak ke mana sahaja tanpa menjadi tumpuan orang ramai.
Namun, katanya, situasi itu berubah apabila namanya mula dikenali menerusi dunia seni.
“Dulu, saya boleh pergi ke mana-mana tanpa orang ambil peduli. Tetapi sekarang, apa saja yang saya buat akan diperhatikan.
“Ke mana saya pergi pun orang akan tahu. Ada masa saya rasa kurang selesa juga,” katanya.
Bagaimanapun, Hadie mengakui populariti itu turut hadir dengan sisi positif, terutama apabila pengaruh yang dimilikinya dapat digunakan untuk menyebarkan perkara yang baik.
“Bila orang sudah kenal kita, mereka akan ikut contoh yang kita tunjukkan.
“Kalau kita buat perkara baik, orang pun akan ikut. Dari situ kita boleh kumpul pahala,” ujarnya.
Selain itu, kongsi Hadie, antara perkara yang paling dirasai selepas bergelar penyanyi dikenali ialah kehadiran peminat yang sering memberikan sokongan, termasuk dalam bentuk hadiah.
“Dulu, masa saya belum dikenali, nak dapat hadiah sebulan sekali pun susah.
“Sekarang bila dah ada peminat, selalu juga terima hadiah. Itu antara perkara yang menyeronokkan bila ada peminat,” katanya.
Dalam pada itu, Hadie tidak menafikan setiap kejayaan pasti mempunyai cabaran tersendiri.
Disebabkan itu, katanya, dia berazam untuk terus kekal merendah diri serta memanfaatkan populariti yang dimiliki ke arah perkara yang positif.










