Lima program menarik TV Al-Hijrah jadi penutup tirai 2025 - Utusan Malaysia

Lima program menarik TV Al-Hijrah jadi penutup tirai 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: TV AlHijrah menutup tirai siaran 2025 dengan pelbagai pencapaian membanggakan apabila berjaya memperkukuh peranannya sebagai penyiar Islam yang menggalas amanah pendidikan, pencerahan dan dakwah kepada masyarakat.

Stesen televisyen berkonsepkan gaya hidup Islam itu bukan sahaja tampil dengan karya lebih matang, malah berani meneroka pelbagai format baharu serta pendekatan segar yang relevan dengan keperluan semasa penonton.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, sepanjang 2025, stesen itu mencatat perkembangan positif termasuk penerimaan kukuh terhadap kandungan televisyen dan digital, sekali gus membuktikan kandungan Islamik berkualiti sentiasa mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Penerokaan genre dan pendekatan penyiaran yang lebih pelbagai membolehkan nilai dakwah disampaikan dengan lebih segar, santai namun berkesan,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan kepada penonton setia, TV AlHijrah mempersembahkan lima program berimpak besar di penghujung 2025, antaranya Konsert Malam Hijrah Bergema yang bakal diadakan buat julung kali pada 31 Disember ini, jam 9 malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Konsert ambang tahun baharu itu menyatukan elemen nasyid, zikir dan semangat hijrah dengan barisan artis tersohor seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Hijjaz, Lah Ahmad, Mawi, Sufian Suhaimi serta Munsyid Muda. Turut memeriahkan pentas ialah penyanyi legenda Datuk Hattan, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Nash.

Menurut Namanzee, konsert berkenaan merupakan buah tangan khas YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar kepada rakyat Malaysia.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi santapan jiwa yang membangkitkan rasa syukur, refleksi dan keharmonian ketika melangkah ke tahun baharu,” katanya.

Konsert tersebut akan digandingkan dengan hos berpengalaman, Faizal Ismail dan Ustaz Nabil Ahmad, selain turut disokong IKIMfm sebagai Rakan Penyiar Radio.

Selain hiburan, TV AlHijrah turut menekankan pengisian ilmu menerusi penganjuran Konvensyen Assalamualaikum: Perjalanan Menuju Kepada-NYA yang akan berlangsung di PICC pada 30 Disember, dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, diikuti Bengkel Solat pada sebelah petang.

Konvensyen berskala besar itu dijangka menghimpunkan lebih 800 peserta dengan penglibatan tokoh tersohor seperti Ustazah Muzayyanah Abdullah, Ustazah Nazirah Abu Bakar, Ustaz Dr. Haji Nur Mohammad Hadi Zahalan, Abu Talib Husin serta Heliza Helmi.

Bagi penonton yang tidak berkesempatan hadir, TV AlHijrah turut menyiarkan Anugerah Carta 114 Musim Ketiga secara langsung pada 27 Disember, jam 9 malam, sebagai pengiktirafan kepada karya muzik Islamik terbaik pilihan penonton.

Selain itu, platform digital AlHijrah Plus (AH+) menawarkan Program Tenang Sekejap serta lima telefilem terbaik Disember termasuk Surat Dari Syurga, Menantu Datuk Nikah Kahwin, Vibrasi Ayat-Ayat Tuhan, 30 Juzuk Terakhir dan Tanda Kiriman Tuhan.

Penglibatan pelakon ternama seperti Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Remy Ishak, Datuk Fauziah Nawi dan Vanida Imran membuktikan dakwah mampu disampaikan menerusi visual berkualiti tinggi dan berdaya saing.

Melangkah ke 2026, Namanzee berkata, TV AlHijrah bertekad memperluas capaian, memperhebat kandungan digital serta kembali aktif di lapangan melalui pengisian di masjid, institusi pendidikan, lokasi awam dan penganjuran Karnival Hijrah 2026.

“TV AlHijrah bukan sekadar stesen televisyen, tetapi sebuah gerakan masyarakat yang memupuk kefahaman agama, membina karakter ummah dan menyantuni kehidupan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN