Kerana kontroversi buka baju itulah saya aktif dengan kerja kemanusiaan - Faizal Tahir - Utusan Malaysia

Kerana kontroversi buka baju itulah saya aktif dengan kerja kemanusiaan – Faizal Tahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Faizal Tahir mengakui langsung tidak menyesali tindakan kontroversinya membuka baju ketika membuat persembahan pada tahun 2008 kerana peristiwa itu menjadi titik perubahan terbesar dalam hidup dan kerjayanya.

Menurut Faizal, insiden tersebut bukan sahaja menyebabkan dirinya digantung daripada dunia seni selama beberapa bulan, malah dikenakan hukuman melakukan kerja sosial.

Namun, katanya, hukuman itulah yang akhirnya membuka pintu hatinya untuk terlibat secara aktif dalam kerja-kerja kemanusiaan.

“Tak menyesal langsung. Sebab itulah punca saya jadi Faizal yang hari ini. Masa saya buka baju tu, saya diban daripada dunia seni, tapi yang paling bagus saya dihukum melakukan kerja sosial,” katanya.

Tambah penyanyi lagu Gemuruh itu, sepanjang tempoh hukuman tersebut, dia berpeluang turun padang membantu masyarakat, termasuk mengunjungi rumah anak yatim dan membantu golongan memerlukan.

“Masa itulah saya ke rumah anak yatim, bantu orang sini sana sebagai hukuman. Tapi rupanya itu yang buka hati saya untuk terlibat dalam kerja kemanusiaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Faizal turut berkongsi satu lagi peristiwa penting yang benar-benar menyedarkannya tentang tujuan hidup, iaitu selepas satu persembahan di Hard Rock Cafe sekitar tahun 2010.

“Masa itu memang rasa ‘power’. Orang jerit nama saya, rasa macam berada di puncak dunia.

“Malam itu saya balik ke rumah, buka Twitter macam selalu untuk belek-belek berita.
Tapi yang keluar masa tu bukan berita Faizal penyanyi nombor satu Malaysia, tapi berita pasal Mavi Marmara.

“Bila saya baca berita itu, orang tengah naik kapal ke Gaza sampai syahid kena tembak, saya sebut pada diri sendiri, ‘Ya Allah, aku tengah buat apa dengan hidup aku ini?’ Orang lain tengah mati untuk perjuangan, tapi aku sibuk dengan kehidupan sendiri,” katanya lagi.

Perkara itu dikongsikan oleh Faizal kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al-Nuri yang kemudiannya dimuat naik di dalam satu hantaran di Instagram.

Menerusi hantaran yang sama, Nadir turut berkongsi pengalamannya bersama penyanyi hebat tanah air itu.

“Saya yakin kalian pun kenal Faizal Tahir yang sekarang, yang ke hulu hilir ikut misi ke Syria, ke Jepun dan kali ni bersama kami ke Sudan. Saya maklum siap-siap kepada Abang Faizal,

“Nak kena naik 4×4 selama 20 jam ni. Boleh!
Misi first time ni lepas perang, tak tahu nak jadi apa. Boleh! Lapangan terbang Sudan ini tempat konflik, biasa kena ledak dengan dron ya. Boleh! Alhamdulillah.

“Sampai sekarang masih antara artis no 1 negara, pada masa sama menjadi juara di hati ummah yang terluka. Semoga Allah ‘menggunakan’ kita sebaiknya, dengan kemampuan dan kekuatan masing-masing,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN