KUALA LUMPUR: “Terima kasih kerana membeli tiket konsert dan sokongan padu anda semua terhadap ibu saya,”
Demikian celoteh mencuit hati anak kepada penyanyi tersohor, Misha Omar, Idris Haris, yang berjaya menghiburkan ribuan penonton pada Konsert DIA Misha Omar di Mega Star Arena, baru-baru ini.
Misha menghadiahkan momen istimewa kepada peminat apabila menampilkan Idris sebagai pasangan duet menerusi lagu Inggeris, Destiny.
Sebelum itu, Idris terlebih dahulu muncul solo di atas pentas, mencuri perhatian dengan celoteh bersahaja sementara ibunya menukar persalinan.
“Saya kembali! Masih ingat saya? Rindukan saya? Dari showcase Back To Basic hingga ke Konsert Dia Misha Omar. Jika dulu anda mengenali saya ketika berusia lapan tahun, kini saya sembilan tahun,” celotehnya.
Kemunculan spontan Idris yang mampu melontarkan monolog panjang dan teratur mendapat pujian ramai, malah menyerlahkan potensi bakatnya sebagai pewaris seni ibunya.
Sementara itu, turut menjadi perhatian tiga persalinan Misha, semuanya berasaskan tona hitam, warna yang menjadi identiti dan kekuatan peribadinya di pentas.
Pilihan gaya itu dikatakan menyerlahkan elegan, ketegasan serta karakter seni yang sudah sinonim dengan penyanyi berjiwa besar itu.
Dalam konsert yang padat dengan emosi dan vokal lantang, Misha mempersembahkan rangkaian lagu popularnya seperti Bunga-Bunga Cinta, Dedebu Cinta, Halaman Cinta, Pulangkan, Lilitan Asmara, Ku Seru, Sampai Bila dan banyak lagi, mencetuskan nostalgia buat peminat setia.
Segmen tribute kepada sifunya, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, juga turut mengundang sebak apabila Misha menyampaikan gabungan lagu ikonik seperti Jerat Percintaan, Gubahan Rindu Puisi Syahdu dan Renungan Terakhir.
Turut hadir rakan-rakan artis memberikan sokongan seperti Anuar Zain, Ernie Zakri, Sherry Alhadad, Scha Alyahya dan Awal Ashaari, menambah seri malam penuh bermakna itu.
Konsert DIA Misha Omar menyaksikan peminat yang tidak henti-henti menyanyi bersama hampir setiap lagu yang dipersembahkan, mencipta suasana yang penuh emosi sepanjang lebih dua jam persembahan.-UTUSAN










