PASIR GUDANG: Penyanyi dan komposer muda berbakat, Erul D’va kembali mencuri perhatian peminat muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharu berjudul Lonely, sekali gus memperlihatkan sisi emosinya dalam menyuarakan kesepian dan pencarian makna kejujuran diri.
Diterbitkan di bawah label Guzzbuzz Productions, Lonely mengetengahkan kisah seorang individu yang berjuang memahami kehadiran diri di tengah kesibukan hidup, biarpun bertemu ramai wajah namun tetap dibelenggu rasa kosong dan tidak terlihat.
Menurut Erul, Lonely lahir daripada pengalaman peribadi yang sarat dengan pergolakan emosi, menggambarkan kesunyian bukan sekadar keadaan fizikal tetapi juga perasaan yang bergelut antara harapan dan kerinduan.
“Kadang kita terdiam bukan kerana tidak mahu bercakap, tetapi kerana suara di dalam lebih meresap bila disimpan,” ujarnya sambil menyifatkan Lonely sebagai wadah untuk menyatakan apa yang tidak mampu disebut dengan kata-kata.
Lagu berkenaan turut membawa mesej tentang nilai kejujuran diri sebagai asas utama dalam mencari cinta sejati, sekali gus menjadikan Lonely bukan hanya kisah kesedihan, tetapi juga perjalanan mencari jati diri dalam dunia yang sering terasa asing.
Lonely kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital dan dijangka menambah warna pada perjalanan seni Erul D’va dalam industri muzik tanah air.










