KUALA LUMPUR: Pelakon dan anggota kumpulan Floor 88, Eric Fuzi, 33,meluahkan rasa lega apabila beberapa individu yang sebelum ini berhutang dengannya telah tampil melangsaikan tanggungjawab masing-masing dengan baki hutang kini dianggarkan sekitar 20 hingga 50 peratus sahaja.
Menurut Eric, daripada jumlah keseluruhan hutang yang pada awalnya mencecah RM50,000, kini kebanyakannya telah berjaya diselesaikan secara ansuran.
“Alhamdulillah, kebanyakan mereka sudah bayar selepas saya buat keluhan di hantaran media sosial sebelum ini.
“Sekarang ini yang berbaki mungkin sekitar 20 hingga 50 peratus sahaja. Ada juga yang masih membuat bayaran sedikit demi sedikit,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Sidang Media The Last Kopek: Senarioreunion 30 Tahun di Hotel Sunway Putra, di sini, semalam.
Bagaimanapun, Eric mengakui masih terdapat individu yang gagal melunaskan hutangnya sehingga kini.
“Ada yang masih berhubung dan bertanggungjawab, itu saya hargai. Tapi tidak dinafikan, masih ada yang menghilang terus dan tidak dapat dihubungi,” katanya.
Mengulas lanjut, Eric menjelaskan bahawa isu hutang berkenaan melibatkan urusan kerja dan perniagaan dan bukannya berpunca daripada isu meminjam wang daripadanya.
Pengalaman tersebut, kata Eric, menjadi satu pengajaran besar dalam hidupnya agar lebih berhati-hati dalam menjalinkan kerjasama perniagaan pada masa hadapan.
“Dalam bisnes, kita belajar untuk lebih membaca sikap dan amanah seseorang.
“Kadang-kadang kita berkawan lama, tetapi bab tanggungjawab tetap lain pula ceritanya,” katanya.
Dalam pada itu, Eric menegaskan, dia tidak berhasrat mendedahkan identiti mana-mana individu terlibat kerana tidak mahu isu tersebut berpanjangan atau mencetuskan fitnah.
“Saya tidak mahu bawa perkara ini ke tahap yang lebih serius. Biar mereka selesaikan secara baik. Saya hanya berharap mereka terus bertanggungjawab dalam melunaskan baki hutang tersebut,”katanya.
Sekitar September lalu, Eric pernah meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak yang didakwa culas untuk menyelesaikan bayaran meskipun kerja sudah disempurnakan.
Jelas Eric, situasi itu memberi kesan besar terhadap dirinya terutama dalam menampung komitmen bulanan termasuk perbelanjaan asas serta kos operasi.
Pemain keyboard kumpulan popular itu turut menegaskan bahawa simpanan peribadi yang dimiliki sebelum ini sudah habis digunakan untuk menampung pelbagai kos lain.










