Dr. Fie bakal fail tindakan sivil terhadap Nubhan Ahamad

Dr. Fie bakal fail tindakan sivil terhadap Nubhan Ahamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir memaklumkan pihaknya akan memfailkan tindakan sivil terhadap penyanyi, Nubhan Ahmad berhubung dakwaan memecah masuk kediaman serta mengeluarkan barangan milik bekas isterinya tanpa kebenaran.

Akberdin berkata, anak guamnya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr Fie, 35, akan membuat laporan polis sebaik pulang ke tanah air dari luar negara, esok.

Menurut beliau, tindakan Nubhan yang memasuki rumah berkenaan ketika Dr Fie berada di luar negara, selain mengeluarkan barangan peribadi dan menukar kunci kediaman, adalah bertentangan dengan peruntukan undang-undang.

“Mana-mana pihak, walaupun pemilik rumah, tidak boleh sewenang-wenangnya memasuki atau mengambil alih harta tak alih yang sedang didiami tanpa perintah mahkamah. Dalam kes ini, anak guam saya masih mendiami rumah tersebut dan sedang menuntut harta sepencarian di mahkamah.

“Perbuatan memasuki rumah dan mengeluarkan barangan tanpa kebenaran jelas melanggar Seksyen 7 dan 8 Akta Relief Spesifik. Justeru, kami akan mengambil tindakan sivil bagi menuntut ganti rugi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akberdin menjelaskan, undang-undang turut memperuntukkan bahawa walaupun seseorang penyewa gagal membayar sewa untuk tempoh yang panjang, pengusiran secara paksa tetap tidak dibenarkan tanpa perintah mahkamah.

Tambahnya, bekas isteri juga berhak untuk terus mendiami kediaman berkenaan sepanjang prosiding tuntutan harta sepencarian masih berjalan.

Beliau turut mendakwa tindakan tersebut menjejaskan kebajikan anak-anak pasangan berkenaan yang sepatutnya dibenarkan terus tinggal di kediaman berkenaan sehingga keputusan mahkamah dibuat.

Sebelum ini, Dr Fie menerusi hantaran di Threads mendakwa barangan peribadi miliknya dipindahkan dari kediaman ibu bapanya tanpa sebarang makluman kepadanya.

Nubhan, 39, dan Dr Fie sah bercerai pada 2 Disember lalu selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; dan Afzan Nayille, 3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN