Diskusi ‘pembedahan’ pasca FFM34 - Utusan Malaysia

Diskusi ‘pembedahan’ pasca FFM34

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aku nak ucap terima kasih lah buat semua yang menonton 2 episod Legasi Podcast
yang membedah Festival Filem Malaysia Ke-34 yang disiarkan di YouTube baru-baru ni.
Terima kasih Adlin Aman Ramlie dan Datuk Khai Salleh dan aku juga berbesar hati
kerana dipasangkan dengan pengarah, Erma Fatimah dan aktres, Ogy Datuk Ahmad
Daud. Sempat jugak aku layan komen korang. Dari komen yang pedas, sinis dan
kadang-kadang lebih berani daripada pemahaman. Tapi tak apa lah. Dunia filem
memang begitu. Jadi kasi la aku kesempatan sikit untuk aku jelaskan beberapa perkara
dengan bahasa yang lebih jujur ya.

Ramai menilai filem macam menilai makan ketika melihat menu di restoran. Ia jadi
“sedap tak sedap” aja. Tapi kalau itu tahapnya, tak pelik kenapa budaya kritikan kita
semakin nipis. Menonton secara kritis bermaksud kita membedah filem dengan mata
dan minda. Kita melihat antara lain, struktur cerita, perkembangan watak, simbolisme,
bahasa visual dan subteks. Kadang-kadang bukan filem itu yang bermasalah tapi fokus
kita yang rabak.

Itu kalau kita. Kalau juri pulak bagaimana kan? Kalau juri ikut suka hati, maka itu bukan
penjurian, itu drama peribadi. Aku dok kata juri perlukan “metrics” dan “rubrics” supaya
juri tidak keliru di antara hak menonton dan tanggungjawab menilai.

Barangkali ada yang fikir juri boleh nilai filem macam penonton biasa. Yang depa suka,
depa bagi markah tinggi, tak suka bagi markah rendah. Tanpa rubrics, juri akan jadi
macam “hakim TikTok” . Diorang main ikut mood, ikut selera, ikut siapa yang dia suka.
Ini bukan gelanggang suka-suka. Ini industri seni yang perlukan integriti.

Metrics dan rubrics inilah yang membezakan penjurian profesional dan penjurian kedai
kopi. Tanpa metrics dan rubrics, penilaian cenderung kepada selera peribadi yang pada
akhirnya melemahkan kredibiliti festival dan nilai sebenar sesebuah filem.

Juri tidak beroperasi atas “apa aku rasa hari ini”. Juri yang benar-benar layak mesti ada
kepakaran membaca setiap elemen filem, keberanian membuat keputusan yang tak
popular, kemampuan memisahkan selera peribadi daripada mutu karya dan yang
penting ialah integriti untuk tidak tunduk pada tekanan, simpati atau hubungan
peribadi.

Tanpa metrics dan rubrics, penjurian akan jadi seperti pertandingan ratu cantik
kampung di mana si polan menang sebab “aku kenal dia, dia baik, bagilah menang.”
Lagi satu, jangan lupa pula bahawasanya juri bukan datang untuk memuji tapi juri
datang untuk menilai. Menilai tu pulak bermaksud menimbang, mengkritik,
membezakan dan membuat keputusan yang mungkin tidak menyenangkan semua
orang.

Kalau juri takut mengkritik, takut tidak popular atau terlalu lembut nak menegur atau
tidak jujur, itu bukan juri. Itu penonton VIP.

Rubrics pula bukan sekadar dokumen teknikal. Ia seharusnya jadi benteng yang
menghalang festival daripada menjadi bahan gelak industri. Ia berupaya memastikan
filem menang kerana kualiti, bukan kerana faktor luar. Kita tidak perlukan juri yang
hanya pandai mengulas secara diplomatik. Kita perlukan juri yang faham seni, tegas
dengan prinsip dan cukup matang untuk menegakkan standard, walaupun keputusan
itu nanti diserang di ruangan komen.

Itulah baru penjurian sebenar.
Itulah integriti.

Dan di sini, aku juga ingin sentuh satu lagi penyakit lama di kalangan ramai, baik orang
filem, baik bukan orang filem. Aku panggil ia sebagai budaya “kritik bodoh”. Setiap kali
ada orang luar industri, baik wartawan, akademik, pengkritik filem, malah penonton
biasa memberi pandangan, pasti muncul suara sumbang seperti: “Kalau pandai sangat,
pergilah buat filem!”
Ini argumen yang jumud, malas dan tidak intelektual.

Kalau begitu logiknya, apabila bila kita kritik Menteri, adakah itu bermaksud kita kena
jadi Menteri? Bila kita kritik kualiti makanan, adakah kita wajib jadi chef Michelin? Tidak.
Akhir kata, buat mantan majikanku, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia
atau Finas, FFM bukanlah sekadar karpet merah, selfie dan hashtag bagai okay. Festival
filem yang berjaya bukan tentang kilauan lampu atau bisingnya kamera. Ia memerlukan
“curating” yang jelas, juri yang layak, metrics yang ketat, rubrics yang konsisten dan
perbincangan selepas tayangan. Kalau festival hanya mahu nampak meriah tetapi
kosong dari segi integriti, itu bukan festival filem tapi itu satu pesta saja la agaknya.

Pendek kata, dengan rendah hati, aku berpendapat, industri filem kita tidak akan
berubah jika kita terus menilai filem seperti menilai menu restoran. Kalau penonton tak
mahu kritikal, pembikin takut eksperimen dan juri tidak tegas pada metrics dan rubrics,
jangan hairan kalau kita masih berada di tempat yang sama 10 tahun lagi.

Kalau kita mahu filem tempatan dihormati, festival dihargai dan industri berkembang,
maka kita sendiri perlu berani mengubah standard.
Itulah asasnya.

Saniboey Mohd Ismail adalah mantan wartawan, editor majalah, ketua jabatan di
stesen televisyen tempatan serta stesen televisyen setelit, bekas Setiausaha
Akhbar Menteri Belia & Sukan dan kini seorang penerbit filem dan rancangan
televisyen tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN