Dakwaan Pak Ya disingkirkan adalah tidak benar - Senario - Utusan Malaysia

Dakwaan Pak Ya disingkirkan adalah tidak benar – Senario

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelawak yang juga anggota kumpulan Senario, Lan Pet Pet tampil menjelaskan ketiadaan Pak Ya sebagai duta jenama gedung tekstil terkenal, Jakel, bagi kempen raya 2026.

Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 56, berkata keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan pihak pengurusan tertinggi Jakel sebelum dipersetujui oleh semua anggota Senario yang terlibat.

Menurutnya, keputusan berkenaan bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya melalui proses perbincangan yang panjang melibatkan pengurusan tertinggi syarikat itu.

“Big boss Jakel ada 11 adik-beradik. Selepas mereka semua berbincang akhirnya capai kata sepakat, mereka mahu Senario yang original iaitu lima anggota asal iaitu Lan, Azlee, Apek, Yasin dan Wahid.

“Sebelum menandatangani kontrak, kami dalam kalangan Senario juga ada berbincang.

“ Kami yang ahli asal pergi jumpa Pak Ya dan menjelaskan perkara sebenar. Dakwaan mengatakan Pak Ya disingkirkan adalah tidak benar,” katanya.

Lan berkata demikian ketika ditemui pada acara ‘meet and greet’ bersama Senario, Cik Epal dan Ammar di Jakel Melaka, Sabtu lalu.

Tambahnya, penjelasan turut dibuat secara bersemuka dengan Pak Ya bagi mengelakkan sebarang salah faham, apatah lagi isu tersebut mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat.

“Saya berharap penjelasan ini dapat meredakan kekeliruan dan menghentikan segala spekulasi. Hubungan kami semua masih baik dan kekal profesional,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi anggota Senario, Wahid, turut tampil memberikan penjelasan mengenai situasi sebenar penyertaan Pak Ya dalam kempen raya sebelum ini.

“Cerita sebenar, untuk kempen raya 2025 pun memang tiada nama Pak Ya pada asalnya.

“Namun, dia menggantikan tempat Yasin yang ketika itu tidak dapat terlibat atas sebab tertentu.

“Kebetulan itu rezeki Pak Ya. Saiful Apek yang mencadangkan nama Pak Ya sebagai pengganti Yasin. Kontrak asal kempen 2025 memang tidak menyenaraikan Pak Ya,” katanya.

Untuk rekod, anggota Senario yang terlibat dalam kempen raya Jakel 2025 ialah Lan Pet Pet, Azlee, Wahid, Saiful Apek dan Pak Ya.

Bagaimanapun, bagi kempen raya 2026, tempat Pak Ya digantikan semula oleh Yasin selaku anggota asal Senario, sekali gus mencetuskan pelbagai tanda tanya serta dakwaan kononnya Pak Ya telah ‘disingkirkan’ daripada kumpulan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN