‘Brotherhood’ bakal kongsi pentas Barbarik @ Odeon Kuala Lumpur, Jumaat ini - Utusan Malaysia

‘Brotherhood’ bakal kongsi pentas Barbarik @ Odeon Kuala Lumpur, Jumaat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tanggal 12 Disember 2025, bakal tercipta sejarah tersendiri buat peminat muzik rock tempatan, apabila kumpulan Barbarik membuka tirai pentas Odeon yang baharu dibuka dan dinaik taraf dalam konsert istimewa Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL.

Konsert yang dianjurkan Odeon KL bersama Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd itu akan menampilkan anggota Barbarik iaitu Jo Branko, Muss, Rozaimi, Ainol serta penampilan Istimewa anggota terdahulu antaranya, Eddie, Black, Mel dan Jojet.

Tidak disangkal lagi, ini merupakan sebuah persembahan yang cukup dinantikan peminat setelah sekian lama mereka tidak berkongsi pentas apabila membawa haluan masing-masing sebelum ini.

Apabila ramai peminat yang meletakkan ‘tagline’, ‘brotherhood kembali bersatu’ ia bukan sahaja menggamit memori lampau, tetapi menunaikan Impian peminat untuk melihat keaslian anggota yang pernah bersama bertungkus lumus ‘menghidupkan’ karya-karya hebat terdahulu mereka sebelum ini.

Menurut JoBranko, setiap apa yang direncanakan bakal punyai keistimewaan tersendiri. Bukan sekadar merealisasikan sebuah persembahan, tetapi karisma yang ada pada mereka bakal menjadikan konsert ini berbeza, tambah pula keserasian itu sudah tertanam lama dalam persahabatan sebelum ini.

“Konsert ini merupakan penutup tahun 2025 yang cukup bermakna. Saya sendiri tidak menyangka sambutan yang diterima cukup menggalakkan kerana pada mulanya saya dan Muss berbincang dengan konsep awal yang telah dirancang, tetapi bila adanya penyertaan Eddie, Black, Mel dan Jojet ia sudah jadi lain, dari yang biasa terus menjadi gah,”

“Banyak segmen yang bakal jadi kejutan kerana malam tersebut kita bukan sahaja menyaksikan Barbarik, tetapi penampilan ex-members yang pernah bersama-sama berjuang sebelum ini, uniknya kali ini kami akan berada atas satu pentas,”

“Saya tahu ramai yang kecewa kerana tiket sudah sold out, namun masih ada peluang untuk menonton kami sekali lagi di venue yang sama pada volume 2, 31 Januari 2026 nanti, dan kali ini persediaannya akan lebih ‘umphh’ dengan jalan cerita yang lebih menarik dan berkualiti,”

Menurut pengurus JoBranko, Noh Rahman mereka cukup berbesar hati apabila Barbarik dipilih sebagai artis pertama membuat persembahan di lokasi bersejarah tersebut. Pemilihan Barbarik di buat bukan sahaja berdasarkan reputasi mereka dalam arena muzik rock tempatan, tetapi sebagai ujian sebenar terhadap sistem bunyi, akustik serta kelengkapan teknikal baharu di premis tersebut.

“Barbarik cukup berbesar hati dengan kesempatan yang diberikan. Ia seperti satu penghargaan yang cukup bermakna kerana bukan sahaja diberi peluang untuk ‘merasmikan’ lokasi tersebut, tetapi sebagai penanda aras buat artis-artis lain untuk menjayakan persembahan di sini pada waktu akan datang.

“Walaupun kapasitinya hanya mampu memuatkan sekitar 2500 orang, tetapi lokasi tersebut cukup ikonik kepada semua mat-mat rock yang pernah melalui zaman 80-an dan 90-an ketika berkembangnya era muzik rock satu ketika dahulu,”

Apa yang menariknya tiket Konsert Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL ini dibawakan oleh Rockstation Event & Entertainment ini telah habis dijual dalam waktu yang singkat, namun atas permintaan peminat Barbarik akan muncul sekali lagi pada 31 Januari 2026 di lokasi yang sama.

Kepada peminat yang ingin menyaksikan Pentas Barbarik Live @ Odean KL Volume 2, boleh layari: www.ilassotickets.com. Harga tiket bermula dari RM138 hingga RM368.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN