Kumpulan rock tanah air, Barbarik, membuka tirai pentas Odeon Kuala Lumpur yang telah dinaik taraf menerusi konsert istimewa Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL pada 12 Disember 2025.
Konsert yang dianjurkan Odeon KL bersama Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd itu menampilkan anggota Barbarik iaitu Jo Branko, Muss, Rozaimi dan Ainol yang dipilih sebagai artis pertama membuat persembahan di lokasi bersejarah tersebut.
Pemilihan Barbarik dibuat bukan sahaja berdasarkan reputasi mereka dalam arena muzik rock, tetapi juga sebagai ujian sebenar terhadap sistem bunyi, akustik serta kelengkapan teknikal baharu Odeon KL.
Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment, Mozylir Mokhtaruddin berkata pihaknya yakin dengan kemampuan Barbarik selepas menyaksikan persembahan bertenaga mereka di Zepp KL sebelum ini, selain sambutan luar biasa sehingga tiket habis terjual.
Sambutan konsert pembukaan itu turut mencatat kejayaan apabila kesemua tiket laris, dengan kehadiran dijangka mencecah 2,500 peminat pada malam bersejarah berkenaan.










