Album sulung ‘MPT’ cerminan perjalanan seni Kaka Azraff - Utusan Malaysia

Album sulung ‘MPT’ cerminan perjalanan seni Kaka Azraff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas 16 tahun melalui pelbagai fasa dalam industri muzik, Kaka Azraff akhirnya memperkenalkan album sulungnya berjudul MPT yang lahir daripada pengalaman dan kematangan diri.

Judul MPT diambil daripada perkataan ‘eMPaTI’ yang membawa maksud keupayaan memahami perasaan serta pengalaman orang lain seolah-olah berada di posisi mereka.

Album ini dirakam sepanjang tiga tahun ketika Kaka memilih untuk memperlahankan langkah dan menjauhkan diri daripada sorotan utama industri.

Menurut Kaka, idea dan identiti MPT terbentuk secara semula jadi hasil perbualan, perkongsian serta pemerhatian terhadap kisah hidup insan sekelilingnya.

Sebanyak enam lagu dimuatkan dalam album ini iaitu Berubah, Cabar, Arguments, Bully, Takleh Usik dan Aku, masing-masing membawa cerita dan emosi yang berbeza.

Kaka menegaskan fokus penghasilan lagu-lagu ini adalah pada kejujuran rasa dan keaslian emosi, bukan semata-mata mengejar kesempurnaan teknikal.

MPT merupakan hasil kolaborasi bersama dua penerbit iaitu SonaOne dan Yonnyboii yang turut menyumbang kepada warna dan karakter album ini.

Penyanyi itu turut menjelaskan MPT bukan satu kemunculan semula, sebaliknya kesinambungan kepada perjalanan seninya yang telah lama dibina.

Album ini direalisasikan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures serta distribusi Universal Music Malaysia.

Jelasnya lagi, album MPT akan dilancarkan pada hujung Januari 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN