KUALA LUMPUR: Keputusan pelakon dan usahawan popular, Rozita Che Wan atau Che Ta untuk kembali aktif dalam dunia lakonan ternyata tepat pada masanya apabila watak antagonis Kak Ju (Juriah) menerusi drama Bahagia Yang Tertangguh mencetuskan fenomena tersendiri.
Selepas hampir tiga tahun berehat daripada set penggambaran untuk memberi tumpuan kepada dunia perniagaan, Che Ta mengaku tidak menyangka penonton ‘naik hantu’ dengan karakter jahat arahannya Osman Ali itu sehingga menerima pelbagai kecaman dan mesej berbaur kemarahan.
Menurut Che Ta, watak tersebut mengingatkannya kepada zaman kegemilangan karakter Kiah Pekasam, namun kali ini dia pertama kali diberi kepercayaan membawa peranan antagonis sepenuhnya.
“Sejak episod awal lagi, memang berbakul-bakul kecaman saya terima. Sampai ada yang minta KKM tidurkan Kak Ju.
“Ada juga yang siap berseloroh nak pijak Kak Ju bila jumpa saya,” katanya yang turut terbabit dalam filem Anak Mami Jarum Dalca Cinta Kerabu arahan Datuk Prof. Dr. A. Razak Mohaideen.
Namun begitu, ibu kepada tiga cahaya mata itu tidak melihat kecaman tersebut sebagai ancaman.
“Kalau watak itu meninggalkan kesan positif atau negatif, maknanya kita berjaya hidupkan karakter. Kadang-kadang saya pun gelak baca kecaman itu,” ujarnya.
Che Ta turut mengucapkan penghargaan kepada produksi, stesen TV dan pengarah kerana berani mencabarnya dengan watak sedemikian.

“Sebelum ini mungkin tiada siapa berani beri saya watak jahat. Sampai anak saya gurau cakap Kak Ju tu macam perangai saya.
“Kawan anak saya di Jerman pun terkejut tengok saya jadi garang dan ‘laser’,” katanya sambil menegaskan dirinya di rumah tidaklah sekejam watak tersebut.
Menurut Che Ta, melakonkan watak antagonis sebenarnya lebih mudah berbanding protagonis.
“Watak jahat tak perlu ‘control’, lepaskan saja. Tapi selepas drama ini saya mungkin nak rehat dulu daripada jadi watak antagonis,” jelasnya.
Sementara itu, Che Ta menyifatkan peluang pertama bekerja di bawah arahan Osman Ali sebagai satu penghormatan besar.
“Awal-awal masuk set memang kena tegur. Biasalah belum ‘panas’. Tapi dia banyak cabar saya supaya keluarkan sisi paling jahat Kak Ju. Lama-lama, terus masuk ‘roh’ watak,” katanya.
Selain itu, Che Ta turut memuji komitmen Osman yang sentiasa memastikan pelakon kelihatan terbaik di skrin serta menjaga perkembangan karakter semua pelakon, termasuk watak tambahan.
Di akhir perbualan, Che Ta bersyukur kerana Bahagia Yang Tertangguh, adaptasi novel karya Rissa Ahdiya, mendapat sambutan hangat.
“Kadang-kadang cerita bagus dan pelakon hebat pun belum tentu ‘meletup’. Semua bergantung kepada rezeki dan masa.
“Syukur drama ini diterima dan kukuhkan rekod penerbitan yang pernah berjaya dengan Mandul Bukan Pilihan, Curang Tanpa Niat dan Layang-Layang Perkahwinan,” katanya.
Drama 28 episod itu turut dibintangi Nad Zainal, Kamal Adli, Izzue Islam, Riz Amin dan Mimi Ernida, dengan skrip diolah penulis Indonesia, Oka Aurora, yang terkenal dengan karya kontroversi seperti Ipar Adalah Maut, Norma, serta Antara Mertua dan Menantu.










